KEMERIAHAN sambutan ulang tahun sebuah syarikat di India bertukar tragedi apabila ketua pegawai eksekutifnya maut selepas terjatuh dari ketinggian lebih 4 meter (m) ketika cuba untuk membuat gimik ketibaan di atas pentas.
Kejadian ngeri yang turut dirakam menerusi satu video tular itu berlaku di hadapan pekerjanya yang sedang menunggu kehadiran beliau pada majlis tersebut.
Difahamkan, ketika insiden, Sanjay Shah yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Vistex berada di dalam sebuah sangkar besi yang sedang diturunkan dari bahagian atas pentas.
Bagaimanapun, salah satu kabel mesin berkenaan dilaporkan putus secara tiba-tiba sehingga menyebabkan sangkar terbabit terbalik dalam kejadian yang berlaku pada Jumaat lalu.
Ekoran itu, Sanjay dilaporkan terlepas jatuh dengan bahagian kepalanya terlebih dahulu mendarat di atas lantai.
Seorang lagi individu yang turut berada di dalam sangkar besi bersama Sanjay iaitu Presiden Vistex, Vishwanath Raju Datla turut terjatuh sama dan berada dalam keadaan kritikal.
BACA LAGI: [VIDEO] Suami ajak 'selfie' atas eskalator punca bayi maut terjatuh dari ketinggian 3 tingkat
BACA LAGI: [VIDEO] Isteri sempat lompat turun motor, tergamam lihat suami maut kena hempap balkoni runtuh
Walaupun punca kejadian dipercayai akibat kabel terputus, pihak berkuasa dilapor sedang menyiasat kejadian dengan menelitit semua alat yang digunakan dalam pelaksanan gimik tersebut.
Sanjay dan Vishwanath berada di India untuk meraikan sambutan ulang tahun Vistex Asia yang diadakan selama dua hari di Hyderabad, India.
"Ketika kejadian, Sanjay dan Vishwanath sedang diturunkan dari sangkar ke atas pentas untuk memulakan acara," kata seorang pegawai syarikat kepada media tempatan.
Vistex, yang diasaskan oleh Sanjay pada 1999, ialah sebuah syarikat perunding teknologi berpangkalan di Illinois, Amerika Syarikat (AS) yang memiliki 20 cawangan di seluruh dunia dan pelanggan ternama termasuk antaranya GM, Yamaha dan Coca-Cola. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram