SEORANG lelaki maut selepas dihempap runtuhan binaan balkoni yang tiba-tiba ranap daripada sebuah binaan usang berusia 80 tahun dalam kejadian di sebuah pasar Pachranga, Panipat, India.
Ketika insiden, mangsa sedang menunggang motosikal melalui kawasan pasar yang sibuk itu bersama isterinya.
Dalam kejadian terbabit, mangsa yang dikenali sebagai Sushil meninggal dunia di tempat kejadian akibat dihempap oleh binaan konkrit balkoni yang runtuh itu.
Isterinya bagaimanapun bernasib baik hanya mengalami kecederaan ringan apabila sempat melompat turun dari motor di saat akhir dan mengelak daripada ditimpa runtuhan berkenaan.
Berdasarkan klip kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian tersebut, wanita berkenaan dilihat terkejut dengan insiden yang berlaku.
Dia juga kemudiannya didapati dengan spontan segera cuba untuk mengangkat konkrit yang jatuh itu bagi menyelamatkan suaminya.
Sementara itu, seorang pejalan kaki dilaporkan mengalami patah kaki dalam kejadian tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Laluan pejalan kaki tiba-tiba runtuh, wanita nyaris ditelan bumi
Kemalangan ngeri terbabit yang berlaku sekitar November tahun lalu itu menyebabkan panik di pasar tersebut dan turut dirakam oleh kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi.
Menurut laporan media tempatan, peniaga tempatan menyalahkan pekerja yang bertanggungjawab dalam aktiviti perobohan bangunan tersebut kerana cuai dalam memastikan aspek keselamatan.
Sementara itu, pegawai polis di bandar tersebut, Deputi Supertintendan Satish Gautam memberi jaminan pihaknya akan melakukan siasatan dengan telus dan membawa mereka yang bersalah dalam kejadian itu ke muka pengadilan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram