[VIDEO] Budak perempuan 3 tahun maut kena hempap cermin besar kedai


  • Benua
  • Khamis, 30 Nov 2023

Tangkap layar CCTV memaparkan sebuah cermin besar yang terjatuh di atas kanak-kanak perempuan di Ludhiana, India pada 24 November lepas.

KANAK-KANAK merupakan individu yang memerlukan perhatian dan pengawasan penuh oleh penjaga dewasa terutama ketika berada di kawasan awam.

Ia bertujuan untuk mengelakkan daripada sebarang kejadian tidak diingini berlaku kepada mereka.

Namun, masih ada sesetengah ibu bapa yang leka atau mengambil remeh tentang perkara tersebut sehingga menyebabkan kematian yang menyayat hati.

Buktinya, berlaku satu insiden mengejutkan apabila seorang kanak-kanak perempuan maut selepas dihempap sebuah cermin besar di sebuah premis di pasar Ghumar Mandi di Ludhiana, India pada 24 November lepas.

Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan kejadian, kanak-kanak berusia tiga tahun itu dilihat sedang memegang cermin tersebut sebelum ia terjatuh ke atas mangsa.

Dalam rakaman itu, mangsa berseorangan dan dilihat tidak diawasi oleh penjaganya ketika kejadian.

Pada masa sama, turut dilihat beberapa orang yang berada di lokasi kejadian kelihatan cemas dan cuba menarik mangsa yang berada di bawah cermin empat segi bersaiz dua kali ganda daripada mangsa ketika itu.

Namun, ahli keluarganya dikatakan tidak membuat sebarang laporan kepada pihak polis selepas kejadian yang menimpa mangsa.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan terus dikejarkan ke hospital namun disahkan sudah meninggal dunia.

Sebelum ini, India juga pernah dikejutkan dengan insiden tragis melibatkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun yang maut terkena renjatan elektrik ketika cuba membuka peti sejuk di sebuah pasar raya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram