'Ada bahan naik RM320 ke RM700', usahawan baker tersepit hambur luahan


  • Massa
  • Sabtu, 02 Mac 2024

Peniaga dikatakan terjejas dengan kenaikan harga barang mentah disebabkan kadar SST meningkat. — Gambar hiasan

SEMENJAK kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus, ramai yang meluahkan rasa gusarnya terhadap perubaha harga barang jualan.

Kenaikan itu sekali gus memberi tamparan besar kepada seluruh masyarakat termasuk para peniaga yang menjual barangan keperluan harian seperti makanan.

Terkesan dengan kadar SST baharu, seorang pengguna akaun Facebook Syafinas Abu Bakar berkongsi tentang nasibnya sebagai pengusaha sebuah kedai bakeri.

BACA LAGI : Harga barang kami jual tidak akan naik sebab SST meningkat — Ameer Ali Mydin

237549612_1739330776274680_1460329890677200565_n

Barang mentah yang digunakan untuk jualan bakeri dikatakan naik mendadak. — Gambar hiasan

Katanya, dia terkejut selepas mendapat maklumat daripada pembekalnya yang memaklumkan tentang kenaikan harga barang mentah.

"Saya peniaga, saya pembeli dan saya juga rakyat biasa. Tak tahu nak kategori B40 ke M40 ke T20. Semua dalam keadaan berjuang untuk hidup.

"Hari ni hari sedih buat semua Bakers Seantero. Dapat mesej dari supplier (pembekal), harga naik tak beragak. (Sy yakin bukan bakers saja yang rasa hampir semua yang buat perniagaan rasa dan yang membeli juga rasa)," luahnya.

Di samping itu, dia juga berkata, terdapat harga bahan mentah dijual secara guni meningkat sehingga menjejaskan kos perniagaannya.

"Itu baru bahan. Ada bahan dari satu guni RM320 naik ke RM700 lebih," katanya.

BACA LAGI : Tangguh dulu SST 8 peratus, rakyat Malaysia dijangka berdepan 1 lagi pusingan inflasi — Pemuda MCA

sst

Kenaikan SST yang menjejaskan para peniaga tempatan. — Gambar hiasan

Selain bahan mentah, pengusaha itu turut menyatakan bahawa kenaikan itu sebagai beban tambahan jika mahu dikira bersama jumlah kos elektrik yang digunakan di kedainya.

"Belum lagi caj eletrik yang tiap-tiap bulan tak pernah kurang. Walaupun setiap bulan cut production dan cut segala benda. Termasuk tutup chiller mana tak guna.

"Bayangkan sebulan elektrik saja 7k (RM7,000) + lapan peratus lagi," katanya lagi.

Pada masa sama, dia turut menggesa pihak kerajaan untuk mengkaji semula kenaikan kadar SST tersebut kerana tidak mampu menelan kos yang terlalu tinggi itu.

Ditambah lagi dengan kos bayaran gaji pekerja, dia sememangnya tidak dapat menahan rasa kesalnya terhadap perkara tersebut.

Baginya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu melakukan sesi pertemuan dengan kesemua usahawan tempatan di setiap negeri.

Ia dikatakan bertujuan bagi memberikan pertimbangan kepada para peniaga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram