KEJOHANAN Bola Sepak Pantai Piala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Kuala Dungun, Terengganu bertukar tragedi apabila beberapa buah khemah jualan di situ diterbangkan angin kencang pada Sabtu.
Kejadian itu turut menyebabkan dia beberapa buah kenderaan mengalami kerosakan akibat dihempap khemah berkenaan.
Acara jualan itu yang difahamkan sepatutnya berlangsung pada pukul 11 pagi terpaksa dibatalkan susulan insiden yang melanda.
Beberapa pengunjung dilihat turut membantu mengalihkan khemah berkenaan dan barangan jualan yang dikatakan musnah dalam kejadian tersebut.
Namun, insiden angin kencang itu dikatakan hanya berlaku untuk seketika dan hujan renyai juga mula reda tidak lama selepas daripada kejadian tersebut.
Belum ada sebarang kenyataan mahupun laporan polis berhubung kejadian itu dan tiada mangsa dilaporkan tercedera akibat akibat insiden tersebut setakat ini.
Untuk rekod, Jabatan Meteorologi (Met Malaysia) pada Sabtu telah mengeluarkan amaran hujan lebat serta angin kencang di Terengganu sehingga Selasa depan dan orang ramai dinasihati agar sentiasa berwaspada dengan cuaca buruk yang melanda ketika ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram