[VIDEO] Kanak-kanak autisme, Avelyn ditemukan selamat dalam hutan lepas hilang lebih 6 jam


  • 112
  • Sabtu, 02 Mac 2024

Avelyn Alesha ditemui penduduk kampung sewaktu menjalankan operasi mencari dan menyelamat sejak petang Rabu. — Facebook

SELEPAS lebih enam jam hilang, seorang kanak-kanak perempuan autisme berusia enam tahun ditemui dalam keadaan selamat pada malam Rabu.

Avelyn Alesha Jude, ditemukan di kawasan hutan pada pukul 10.20 malam, kira-kira lima kilometer (km) dari rumahnya yang terletak di Kampung Sugud, Penampang, Sabah.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Ishak Amran dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat mangsa berjaya ditemukan penduduk kampung.

"Mangsa ditemukan kira-kira lima kilometer dari rumah keluarganya di kawasan hutan oleh tiga remaja sebelum memaklumkannya kepada pasukan keselamatan," katanya pada Jumaat.

BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk trauma dengar bunyi 'klepak', wanita maut dipercayai ditolak kekasih dari tingkat 23 kondominium di Setia Alam

BACA LAGI: [VIDEO] Kakak tangisi pemergian satu-satunya adik perempuan terlibat nahas 3 kenderaan di Kota Bharu

Untuk rekod, Avelyn Alesha disedari hilang oleh ibunya di rumah mereka di Kampung Sugud kira-kira pukul 4 petang, Jumaat.

Sementara itu, memetik laporan media tempatan, bapa saudara Avelyn Alesha, Mestan Eden berkata, penduduk kampung menemukan kanak-kanak itu sewaktu menjalankan operasi mencari dan menyelamat sejak petang Rabu.

"Adik saya (ibu Avelyn) memberitahu bahawa mereka bersembahyang dan berdoa sebelum mencari Avelyn.

"Mereka turut bunyikan paluan gong ketika mencari Avelyn," kongsinya.

Dia turut memaklumkan, anak saudaranya dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk menerima rawatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram