SEORANG pelajar sekolah pondok maut dipercayai akibat dipukul pelajar senior hanya gara-gara enggan menolak ajakan untuk menunaikan solat berjemaah..
Kejadian tersebut menimpa mangsa, Bintang Balqis Maulana di Sekolah Pondok Al Hanifiyah, Kecamatan Mojo, Kabupaten Kediri, Jawa Timur, Indonesia pada Jumaat lalu.
Difahamkan sehari sebelum kejadian, mangsa sedang sakit dan berehat di dalam bilik asrama, iaitu bilik yang sama dengan suspek.
Sewaktu insiden, empat pelajar senior tersebut menghampiri mangsa dan mengajaknya solat berjemaah di surau.
Dia hanya mengiyakan ajakan tersebut namun pada waktu itu, dia tidak turun pun untuk solat bersama-sama.
BACA LAGI: [VIDEO] Kanak-kanak autisme, Avelyn ditemukan selamat dalam hutan lepas hilang lebih 6 jam
Keesokan harinya, mangsa sekali lagi didatangi suspek yang memaksanya untuk segera mandi dan ikut mereka solat jemaah, mangsa sekali lagi mengiyakan sebelum pergi ke bilik mandi.
Malang buat remaja berusia 14 tahun itu apabila dia yang dalam keadaan tanpa seurat benang tiba-tiba dicekik daripada belakang oleh salah seorang suspek dan mereka bertindak memukulnya berkali-kali hingga rebah ke lantai.
Bagaimanapun, selepas melihat keadaan mangsa yang teruk dibelasah, mereka mengangkat mangsa masuk ke bilik untuk mengubati luka-lukanya.
Tangkap layar mesej mangsa kepada ibunya memaklumkan dirinya berasa takut ketika berada di sekolah berkenaan. — Agensi
Suspek turut mendakwa berniat menghantar mangsa ke hospital bagi menyelamatkannya dan mengaku tindakan memukul itu dibuat atas dasar memberi pengajaran, bukan untuk membunuh mangsa.
Bintang ditemui oleh sepupunya di dalam bilik mandi dalam keadaan sangat lemah keesokan harinya sebelum dia dihantar ke hospital dan melaporkan insiden itu kepada pihak keluarga.
Pihak hospital bagaimanapun mengesahkan mangsa meninggal dunia dan jasadnya dihantar sendiri oleh pengurusan sekolah tersebut tetapi mereka melarang ahli keluarga membuka kain kafan, namun ibu mangsa nekad membuka kain kafan itu sebelum semuanya terbongkar.
Bintang bersekolah di Sekolah Pondok Al Hanifiyah, Kecamatan Mojo, Kabupaten Kediri, Jawa Timur, Indonesia. — Agensi
Pihak sekolah didakwa menyembunyikan hal sebenar dengan mengatakan pelajar itu meninggal dunia kerana terjatuh di bilik air.
Mangsa difahamkan pernah menghantar mesej kepada ibunya, Suyanti, 38, seminggu sebelum meninggal dunia, memaklumkan berasa takut, namun tidak menyatakan secara spesifik punca dirinya dalam keadaan sedemikian.
''Cepat ke sini, aku takut maaa....tolonglah...jemput Bintang,'' rayunya.
Bagaimanapun si emak berusaha untuk memujuk mangsa agar pulang sewaktu cuti sekolah sahaja, sementelah dia mempunyai pekerjaan lain yang harus diselesaikan ditambah perlu menjaga anak kecilnya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram