[VIDEO] Kakak tangisi pemergian satu-satunya adik perempuan terlibat nahas 3 kenderaan di Kota Bharu


  • 112
  • Khamis, 29 Feb 2024

Tangkap layar memaparkan kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 14 Jalan Tanah Merah menghala ke Lubok Jong di Kampung Alor Pasir, Tanah Merah, Kelantan pada Rabu.

SEORANG remaja perempuan disahkan meninggal dunia dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 14 Jalan Tanah Merah menghala ke Lubok Jong di Kampung Alor Pasir, Tanah Merah, Kelantan pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintanden Mohd Haki Hasbullah berkata, nahas pada pukul 8 pagi itu membabitkan mangsa, 14, yang menunggang motosikal jenis SM Sport E110 dengan kereta jenis Proton Wira dan kenderaan pelbagai guna Perodua Alza.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat Proton Wira yang dipandu oleh seorang lelaki dipercayai hilang kawalan di kawasan selekoh sebelum terbabas masuk ke laluan motosikal.

“Perodua Alza yang bergerak dari laluan sama melanggar sisi sebelah kanan Proton Wira tersebut dan motosikal yang berada di belakang menyebabkan penunggangnya terjatuh ke tepi sebelah kanan jalan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk trauma dengar bunyi 'klepak', wanita maut dipercayai ditolak kekasih dari tingkat 23 kondominium di Setia Alam

BACA LAGI: [VIDEO] 'Konsert Ed Sheeran elok je', ramai kompelin konsert malam Nisfu Syaaban di Kedah dibatalkan saat akhir sebab tiada permit

Mohd Haki berkata, pemandu Proton Wira yang berusia 20 tahun itu cedera parah dan dirawat di Hospital Tanah Merah manakala pemandu wanita Perodua Alza, 32, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ujarnya, polis menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pemandu kereta berkenaan dan mengambil sampel darah untuk dihantar ke Jabatan Kimia Kuala Terengganu.

WhatsApp Image 2024-02-29 at 09.09.59 (2)

Tangkap layar memaparkan hantaran di status WhatsApp seorang individu dipercayai kakak kepada kepada mangsa berhubung kejadian tersebut.

“Kemalangan disiasat mengikut seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Haki turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit boleh salurkan kepada Inspektor Mohd Afiq Mohd Sulaiman di talian 09-9556222.

“Saya menasihatkan orang ramai supaya berhemah dan lebih berhati-hati semasa berada di jalan raya,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram