
BARU-BARU ini, negara dikejutkan dengan kes melibatkan sejumlah pekerja asing yang ditipu oleh tawaran kerja tidak wujud meskipun mereka masuk secara sah ke dalam negara.
Dilaporkan, kegiatan memberikan janji kosong ini didalangi oleh ejen dan majikan yang tidak bertanggungjawab.
Pertubuhan Kebangsaan Agensi Perkhidmatan Swasta Malaysia (PAPSMA) pada awal Januari lalu mendedahkan bahawa dianggarkan seramai 500,000 pekerja asing sedang menganggur dan langsung tidak diupah oleh mana-mana majikan.
Lebih membimbangkan, laporan menyatakan bahawa akibat daripada itu, sesetengah daripada kumpulan berkenaan terpaksa bekerja dalam bidang bukan sektor dibenarkan.
Difahamkan, kesemua mereka dipercayai masuk secara sah ke dalam negara dan sepatutnya berkhidmat dalam lima sektor yang dibenarkan Kerajaan.
Pengarah Eksekutif North-South Initiative (NSI), Adrian Pereira mendakwa, trend tersebut bukan sesuatu yang baharu kerana ia sudah berlaku sejak sekian lama.
Menurutnya, situasi berpunca antara lain dipercayai akibat wujudnya pihak tertentu yang memonopoli proses penggajian buruh migran termasuk melibatkan penentuan kuota.
"...memang ada manipulasi. Contohnya kalau kuota tak cukup, dia akan bayar lebih secara rasuah.
"Lepas itu mereka akan jual beli (kuota) dekat pasaran gelap," dakwanya kepada Majoriti.
Pengarah Eksekutif NSI, Adrian Pereira. — Facebook
Menurut Adrian, masalah berkenaan diburukkan lagi dengan ketidaktentuan permintaan terhadap pekerja migran di dalam negara khususnya bagi sektor tertentu.
"Ini kerana di satu pihak kata pekerja migran kita dah berlebihan, tapi di satu pihak lagi kata pekerja migran di sektor perladangan tak cukup," jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau mendakwa, kegiatan penipuan dalam pengambilan pekerja asing itu terus berlaku kerana ia memberikan keuntungan lumayan mencecah jutaan ringgit terhadap ejen atau syarikat yang menguruskannya.
Ujarnya, untuk menampung proses tersebut, pihak yang menjalankan aktiviti berkenaan akan mengutip yuran rekrut daripada pekerja warga asing dari negara terlibat antara RM10,000 hingga RM25,000.
"Bila mereka kutip bayaran yuran daripada buruh imigran, lepas mereka dah bayar levi (kepada Kerajaan Malaysia) pun tahap keuntungan masih tinggi. Setiap kapal terbang yang masuk, memang hasilkan tiga hingga empat jutawan.
"Kita anggarlah sendiri kalau satu penerbangan itu 100 atau 300 orang yang terbang setiap hari, lepas tu kali dengan RM25,000, berapa juta dah mereka dapat," katanya.
Adrian mendakwa, kegiatan berkenaan juga lebih aktif menyasarkan kepada negara yang tahap rasuahnya lebih tinggi seperti Bangladesh dan Nepal.
Tak cukup hanya senarai hitam syarikat
Dianggarkan seramai 500,000 pekerja asing sedang menganggur dan langsung tidak diupah oleh mana-mana majikan. — Gambar hiasan
Dakwa Adrian, untuk membanteras kegiatan berkenaan, adalah tidak mencukupi sekiranya Kerajaan hanya menyenarai hitamkan syarikat terbabit.
Menurutnya, ini kerana kumpulan berkenaan lazimnya menggunakan 'syarikat cangkerang' atau dikenali sebagai shell company bagi menjalankan operasinya.
"Umum nama syarikat sahaja tak cukup, dia kena umum sekali nama pengarah syarikat dan senarai hitam individu terbabit.
"Kalau ikutkan di bawah undang-undang SSM (Suruhanjaya Syarikat Malaysia) sendiri memang tindakan boleh diambil terhadap mereka ini," katanya.
Adrian berkata, pihak terlibat juga sepatutnya boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) sekiranya mereka dikesan membuat pemalsuan dokumen dalam proses penggajian pekerja asing.
Dalam pada itu, beliau berkata, Kerajaan juga dilihat memberikan 'diskaun' yang terlalu tinggi dalam tindakannya terhadap kes majikan yang gagal menyediakan pekerjaan.
Beliau berkata demikian dengan mengambil contoh yang berlaku terhadap sekumpulan pekerja warga asing yang dibiarkan tanpa pekerjaan di Pengerang, Johor, pada Disember lalu.
Dalam kes tersebut, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung (JKTSM) pada Januari lalu mengarahkan majikan kepada 733 buruh asing di Pengerang, Johor, membayar tunggakan gaji bernilai lebih RM1 juta.
Menurut Adrian, jumlah tersebut disifatkan terlalu sedikit dan langsung tidak mencukupi bagi menampung kerugian dihadapi oleh pekerja asing berkenaan.
"Mereka ini dah berada di dalam negara empat hingga enam bulan. Katakanlah kalau mereka ini terima gaji minimum RM1,500. Tapi biasanya mereka ini selalu ambil kerja lebih masa.
"Kalau tak buat kerja lebih masa, memang tak cukup. Jadi bila tetapkan kos pampasan itu, sepatutnya termasuk sekali kerja lebih masa.
"Kemudian ini tak termasuk lagi ambil kira kos yang mereka terpaksa tanggung kerana terpaksa berhutang pada kadar bunga yang tinggi untuk bayar yuran rekrut," ujarnya.
BACA LAGI: Majikan diarah bayar 733 pekerja Bangladesh terabai di Johor lebih RM1 juta
Menurut Adrian, kegiatan penipuan dalam pengambilan pekerja asing itu terus berlaku kerana ia memberikan keuntungan lumayan mencecah jutaan ringgit terhadap ejen atau syarikat yang menguruskannya.
Sehubungan itu, Adrian berkata, untuk menangani isu tersebut, Kerajaan perlu melakukan reformasi terhadap sistem pengambilan pekerja asing di Malaysia supaya ia lebih efisien dan telus.
Katanya, langkah itu termasuk merombak kembali prosedur semasa dilaksanakan ketika ini yang menurutnya terdedah kepada berlakunya konflik kepentingan.
"Contohnya, yang keluarkan pas sementara (kepada pekerja asing) adalah Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen), lepas itu yang cekup buat operasi juga pihak Imigresen. Jadi konflik kepentingan ini cukup tinggi," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar urusan pengambilan pekerja asing yang ketika ini dijalankan melalui KSM dan Imigresen diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Adrian berkata, langkah itu perlu dilaksanakan dengan kewujudan satu badan atau ombudsman bebas bagi melakukan audit terhadap sistem berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram