[VIDEO] 'Masih ada berhati mulia', pekerja Bangladesh jadi penyelamat anak tertinggal di R&R Pagoh


  • Massa
  • Selasa, 20 Feb 2024

Tangkap layar video memaparkan pasangan terbabit sebelum menyedari anak lelakinya tertinggal di R&R Pagoh, Johor pada Sabtu lepas.

SEPASANG suami isteri berdepan detik-detik cemas apabila menyedari anak bongsunya tertinggal di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pagoh, Johor pada Sabtu lalu.

Menerusi video tular sejak Selasa, pasangan tersebut pada awalnya dalam perjalanan pulang dari sebuah R&R sebelum menerima panggilan daripada salah seorang pekerja stesen minyak.

Dalam video sama, mereka dilihat panik sejurus mendapat tahu bahawa anaknya itu tidak berada di dalam kereta bersamanya.

Ketika kejadian, salah seorang anaknya yang duduk di belakang dikatakan turut tidak menyedari situasi itu kerana sudah tidur.

BACA LAGI: Sedih tengok Khyra lembik, ibu kongsi detik cemas tertinggal anak setengah jam di homestay

photo_6242348482560113014_y

Tangkap layar video memaparkan anak lelakinya bersama pekerja berkenaan.

BACA LAGI : Sindrom terlupa anak : Jangan sampai jadi mimpi ngeri ibu bapa

Melalui video lain yang dimuat naiknya di TikTok @Shahilashah, mereka mengambil keputusan untuk berpatah balik ke susur keluar Yong Peng, Johor mengambil anak lelakinya.

Mujur tiada sebarang insiden berlaku kerana seramai tiga orang pekerja stesen minyak warga Bangladesh sanggup menemani anaknya di lokasi itu.

Lanjutan daripada video sebelum ini, salah seorang daripada mereka membuat panggilan tersebut.

"Yang nama Ismail itu bagi guna telefon bimbit untuk hubungi saya serta belikan si bongsu roti dan air," tulisnya.

Bukan itu sahaja, Shahila juga sempat menzahirkan rasa syukurnya dengan memberi ucapan penghargaan kepada kesemua pekerja yang telah menyelamatkan anaknya.

"Terima kasih Ismail dan dua lagi rakan dari stesen minyak R&R Pagoh. Budi kalian kami akan kenang sampai bila-bila," luahnya.

Pada masa sama, dia mengambil perkara itu daripada sudut positif dengan menyatakan bahawa tidak semua warga asing mempunyai sikap negatif.

"Ada je warga asing yang berhati mulia," katanya lagi.

Meskipun perkara itu bukan kejadian mengejutkan, namun Shahila tetap menyarankan agar para ibu bapa lain mengambil iktibar daripada kejadian tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram