SERAMAI 733 pekerja warga Bangladesh yang diperdaya majikan dilaporkan akan menerima tunggakan gaji sebanyak lebih RM1 juta.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata, keputusan itu dilakukan selepas Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung JTKSM menjalankan prosiding pendengaran kes tuntutan buruh tidak diberi pekerjaan seperti yang dijanjikan setelah dibawa masuk ke Malaysia.
Katanya, prosiding berkenaan dilaksanakan pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Johor dengan kehadiran majikan dan pekerja serta disaksikan pegawai Kedutaan Bangladesh pada Isnin.
BACA LAGI : Warga asing ada rekod jenayah ganggu wanita di Bukit Bintang kena pijak 'berjemaah'
“Kedua-dua pihak mencapai persetujuan bersama dengan pembayaran gaji sejumlah RM1,035,557.50 kepada pekerja berkenaan.
“KSM menegaskan pekerja yang dibawa masuk dan tidak diberikan pekerjaan masih menjadi tanggungjawab majikan untuk membayar gaji pekerja seperti ditegaskan Menteri Sumber Manusia pada 16 Januari 2024 semasa mengulas mengenai kes ini.
“Pihak syarikat juga akan menempatkan pekerja terbabit kepada majikan baharu melalui Proses Pertukaran Majikan (PTM) Khas yang akan dibantu JTKSM,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Pada 16 Januari lalu, JTK Johor dilapor sudah melengkapkan 13 kertas siasatan berhubung isu majikan menipu pekerja asing yang berlaku di Pengerang, Johor.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong dilaporkan berkata, kertas siasatan itu membabitkan pelanggaran mengikut Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram