BERLANGGAR bahu ketika beratur selepas tamat waktu bekerja didakwa menjadi punca pergaduhan antara dua pekerja lelaki sekali gus mencetuskan rusuhan di sebuah kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Timur, Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin.
Susulan kejadian itu, polis memberkas seramai sembilan lelaki terdiri daripada empat warga tempatan dan lima warga asing ditahan kira-kira pukul 3.30 pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang pengadu pada pukul 10.22 malam Isnin.
Katanya lagi, dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang Isnin pengadu menyatakan bahawa dia telah ditumbuk oleh seorang suspek lelaki warga asing dan kemudian berlaku pergaduhan antara kedua-duanya.
BACA LAGI: Azhan Rani bersedia tawan Gunung Island Peak di Nepal
BACA LAGI: [VIDEO] Suhu sejuk ekstrem jadi cabaran 13 pendaki tawan gunung bersalji, Island Peak
"Pergaduhan itu membabitkan pekerja kilang dipercayai berpunca daripada salah seorang pekerja asing yang didakwa melanggar bahu seorang lagi pekerja tempatan ketika beratur untuk mendaftar keluar menggunakan cap jari selepas tamat waktu bekerja," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Mohd Zaidi menyatakan pekerja tempatan berkenaan sekali lagi tidak mengendahkan ajakan pekerja asing berkenaan tetapi sebaik berada di luar kilang, mangsa tiba-tiba ditumbuk dari belakang.
“Pergaduhan turut membabitkan penggunaan kayu dan besi yang dipercayai diambil dari kawasan luar kilang berkenaan sebelum berjaya dileraikan oleh pengawal keselamatan serta para pekerja kilang lain.
"Pengadu mengalami kecederaan ringan pada kedua-dua belah lutut dan semua suspek turut ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan," katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial berhubung satu video berdurasi 50 saat yang memaparkan pergaduhan antara dua kumpulan di luar kawasan sebuah kilang di Kota Kinabalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram