[VIDEO] Bukan rombongan, polis Kota Tinggi sahkan pekerja Bangladesh jalan kaki beramai-ramai selepas ditipu ejen


  • 112
  • Isnin, 25 Dis 2023

Tangkap layar video tular sejak Ahad memaparkan kumpulan warga asing terbabit berjalan kaki beramai-ramai di tepi jalan di Kota Tinggi.

TULAR satu video sejak Ahad memaparkan sekumpulan besar warga asing sedang berjalan secara beramai-ramai di tepi sebuah jalan raya sehingga menimbulkan kegusaran orang awam.

Ia selepas tulisan dalam klip tersebut membangkitkan kerisauan berhubung tahap keselamatan penduduk sekitar ekoran kehadiran golongan tersebut.

Namun dalam satu kenyataan pada Isnin, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora tampil memberikan penjelasan berhubung insiden tersebut.

Menurut beliau, kejadian itu berlaku pada Rabu lalu membabitkan seramai 171 warga asing yang ditahan oleh polis di daerah tersebut.

"Video yang tular itu adalah kejadian baharu minggu lalu.

“Kejadian berlaku pada pagi Rabu lalu apabila ratusan warga asing Bangladesh telah dikesan berjalan kaki di kawasan hadapan simpang masuk, Teluk Ramunia Bayu Damai (Kota Tinggi, Johor).

”Mereka difahamkan menuju ke Balai Polis Bayu Damai bagi membuat laporan polis berikutan ditipu ejen pekerjaan yang tidak memberi pekerjaan," katanya.

Hussin berkata, pemeriksaan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di lokasi membawa kepada penahanan seramai 171 lelaki warga Bangladesh berumur antara 19 hingga 43 tahun.

Ujarnya, kumpulan tersebut disiasat di bawah kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Hussin menambah, kesemua mereka telah dihantar ke Jabatan Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru untuk siasatan lanjut.

Menurut beliau, pemeriksaan di lokasi dibuat selepas pihaknya menerima laporan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung kehadiran warga asing terbabit di tempat kejadian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram