[VIDEO] Sempat bergelak ketawa, geng motor tak sempat lari maut kena timbus tanah runtuh


  • Berita
  • Rabu, 28 Feb 2024

Lokasi tebing kejadian tanah runtuh yang meragut lima nyawa di Kecamatan Bastem Utara, Kabupatan Luwu, Sulawesi Selatan, Indonesia pada Isnin lalu. — Agensi

SEKURANG-KURANGNYA lima disahkan maut manakala 11 lagi tercedera dalam satu kejadian tanah runtuh di Kecamatan Bastem Utara, Kabupatan Luwu, Sulawesi Selatan, Indonesia pada Isnin lalu.

Mereka yang maut dilaporkan terdiri daripada orang kampung yang ketika itu sedang berusaha untuk melintasi sebuah jalan di kawasan tersebut.

Difahamkan, laluan berkenaan sudah terlebih dahulu terhalang akibat daripada runtuhan pertama yang berlaku pada sekitar waktu awal pagi hari kejadian.

Salah seorang saksi yang berada di lokasi tragedi tersebut berkata, ketika insiden, ramai penduduk berada di kawasan tersebut sedang menunggu untuk melintasi jalan berkenaan.

Wanita yang dikenali sebagai Masjaya berkata, pada waktu tersebut, dia bersama suaminya turut menunggu giliran untuk melalui laluan tersebut.

"Kami menunggu di sana, kerana banyak kenderaan yang mahu diberikan ruang untuk menyeberang. Kami menunggu sama ada mahu meneruskan perjalanan atau tidak.

"Kemudian berlaku tanah runtuh kecil. Jadi saya kata tidak perlu teruskan, pulang sahaja," katanya seperti dilaporkan CNN.

Masjaya berkata, runtuhan kedua yang lebih besar kemudiannya berlaku betul-betul ketika dia dan suaminya hendak meninggalkan lokasi tersebut.

BACA LAGI: Penghantar barang pekak nyaris maut, toleh belakang lihat van dah putus 2 dirempuh kereta api

BACA LAGI: Khidmat sewa bini orang, lagi laman media sosial tawar aktiviti persundalan terbongkar, ramai minta polis siasat segera

Katanya, pada waktu itu, masih ramai penduduk menunggu bersama motosikal masing-masing untuk melintas di bawah kawasan tebing tanah runtuh berkenaan dipercayai kerana mahu menyaksikan kejadian berkenaan.

Dilaporkan, kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa itu berlaku kira-kira pukul 9.30 pagi waktu tempatan.

Dalam pada itu, rakaman detik-detik insiden runtuhan tersebut turut tular di sosial media.

Berdasarkan sebuah klip berdurasi 18 saat, beberapa individu dilihat sedang menolak motosikal masing-masing berdekatan tebing berkenaan.

Malah, turut kedengaran individu yang ketawa sambil meminta beberapa penunggang motosikal yang berada di lokasi agar mengalihkan motosikal masing-masing.

Bagaimanapun, tidak sampai beberapa saat kemudian, satu runtuhan besar dilaporkan berlaku sehingga menyebabkan perakam video tersebut perlu turut berlari menyelamatkan diri.

Malah, rakaman klip berkenaan juga terpadam secara tiba-tiba. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram