Sudah dikenal pasti, seorang warga Myanmar maut, 4 dikhuatiri tertimbus hidup-hidup tanah runtuh di Cameron Highlands


  • 112
  • Jumaat, 26 Jan 2024

Operasi pencarian mangsa tanah runtuh di JBPM Pahang di Batu 54, Blue Valley, Cameron Highlands pada awal pagi Jumaat. — Facebook/JBPM Pahang

SEORANG maut manakala empat lagi dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Batu 54, Blue Valley, Cameron Highlands, Pahang awal pagi Jumaat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima laporan pada 2.51 pagi, dan setakat ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih berjalan.

"Berdasarkan maklumat awal, terdapat tiga lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa masih berada dalam kawasan runtuhan," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurut Ismail, sembilan anggota bomba yang digerakkan ke lokasi kejadian perlu berjalan kaki kira-kira tiga kilometer untuk sampai ke tempat berkenaan.

Sementara itu, polis mengesahkan lima mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dikenal pasti sebagai warga Myanmar.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintenden Azri Ramli berkata, salah seorang mangsa dikenali sebagai Haphey, 36, ditemui maut tertimbus.

Menurutnya, empat mangsa yang dikhuatiri masih tertimbus, Shing Lan Har, 56, Shing Aung, 39, Om Myue, 38, dan Thang Moung, 25.

"Pihak polis menerima laporan berhubung kejadian pukul 2.10 pagi pada Jumaat.

BACA LAGI: [VIDEO] Sewa bilik RM9 sejam, murid sekolah menengah antara 5 pasangan kena cekup buat maksiat

BACA LAGI: [VIDEO] Enggan susahkan anak, warga emas hidap kanser sanggup tinggal dalam lubang kubur

"Bertindak atas laporan yang diperoleh, pasukan penyelamat bergegas ke lokasi untuk pemeriksaan dan mengkordinasikan operasi mencari dan menyelamat (SAR)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tambah Azri lagi, kenderaan pacuan empat roda terpaksa digunakan memandangkan laluan ke lokasi kejadian telah terputus.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian.

"Sekiranya mempunyai sebarang maklumat, boleh menghubungi Bilik Gerakan (DCC) di talian 05-4915999 atau mana-mana balai polis yang berhampiran," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram