SEORANG kanak-kanak berjaya diselamatkan oleh pasukan penyelamat selepas terperangkap hampir 60 jam dalam kejadian tanah runtuh di sebuah perkampungan perlombongan emas di selatan Filipina pada Selasa..
Kanak-kanak itu, yang tidak didedahkan umurnya, adalah antara lebih 100 orang yang hilang dalam tragedi tanah runtuh akibat hujan lebat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 11 orang.
Pegawai Agensi Bencana dari wilayah Davao de Oro, Edward Macapili berkata, mangsa ditemui terselamat di Kampung Masara, Pulau Mindanao, selatan Filipina.
"Ia satu keajaiban, sekali gus memberi harapan kepada penyelamat. Ketahanan kanak-kanak biasanya kurang daripada orang dewasa, namun kanak-kanak itu terselamat," katanya.
BACA LAGI: Diam-diam mematikan, ketahui 5 jenis penyakit silent killer boleh terjadi kepada anda
Tragedi tanah runtuh pada Selasa disifatkan sebagai terburuk di Filipina.
Tanah runtuh itu memusnahkan rumah selain menimbus tiga bas dan sebuah kenderaan yang digunakan untuk mengambil pekerja dari lombong emas.
Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan 31 cedera, manakala lebih 100 masih hilang.
Pasukan penyelamat turut menggunakan anjing pengesan untuk mencari mereka yang tertimbus di dalam lumpur dan runtuhan.
Hujan melanda di kawasan Mindanao selama berminggu-minggu sehingga mengakibatkan puluhan tanah runtuh dan banjir berlaku yang memaksa berpuluh ribu orang ke tempat perlindungan kecemasan.
Gempa bumi besar juga menjejaskan kestabilan rantau itu sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Tragedi itu dianggap terburuk di Filipina ekoran kawasan yang dilanda tanah runtuh itu diisytiharkan sebagai 'zon tiada pembinaan' selepas tanah runtuh pada 2007 dan 2008.
Orang ramai diarahkan untuk meninggalkan kawasan berkenaan dengan diberi penempatan semula, namun masih ramai berdegil dengan memutuskan untuk kembali ke tempat itu. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram