MASALAH kerosakan jalan raya di Sabah bukanlah satu isu baharu yang sering dibangkitkan rakyat, malah saban tahun ia turut menjadi 'senjata' penting yang akan digunakan oleh ahli politik.
Namun, tahun berganti tahun dan kerajaan berganti kerajaan, rakyat masih menghadapi masalah yang sama.
Malah, isu kerosakan jalan raya ini ibarat penyakit yang semakin menular di seluruh negeri Di Bawah Bayu Itu.
Terbaharu, rakyat sekali lagi meluahkan perkara yang sama melalui media sosial Facebook, Sabah Viral Bah agar isu tersebut menjadi perhatian mana-mana pihak yang bertanggungjawab.
Pentadbir laman Facebook berkenaan turut membandingkan keadaan jalan di negeri tersebut dengan Semenanjung Malaysia.
"Di semenanjung jalan sampai lima tingkat dan di kawasan kampung pun ada lampu isyarat.
"Memandu berjam-jam tak jumpa jalan berlubang atau bertampal tetapi keadaan di Sabah berbeza.
"Kalau jalan runtuh pihak berkuasa pasang signboard (papan tanda), 'hati-hati kawasan tanah runtuh' dan kalau jalan rosak pihak berkuasa akan pasang singboard 'hati-hati jalan tidak rata'.
"Mungkin jalan itu tidak akan dibaiki sehingga tiupan sangkakala terakhir berbunyi," katanya pada Ahad.
BACA LAGI : [VIDEO] Staf lapangan terbang tak sedar rakan di ambang maut terkena renjatan elektrik
BACA LAGI : [VIDEO] Kibar Jalur Gemilang depan Taj Mahal, rakyat Malaysia buat permohonan maaf bertulis
Pada masa sama, pentadbir laman Facebook tersebut turut memuat naik beberapa gambar memaparkan keadaan jalan di negeri tersebut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata sebahagian besar warga maya turut meluahkan rasa kesal yang sama.
"Sabah maju jaya tapi hanya di signboard sahaja. Sudah berganti kerajaan pun masih juga rakyat menderita," kata Feliz Aryland.
Sementara itu, Shabdaziz Shahmad pula mencadangkan agar pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mempamerkan nama syarikat atau kontraktor yang membuat kerja sambil lewa dalam membaiki keadaan jalan di Sabah.
"Cadangan aku, minta JKR Sabah siarkan kontraktor yang bertanggungjawab menampal atau membaiki jalan di seluruh Sabah supaya dapat diviral kalau kerjanya tiada kualiti. Berani tak buat seperti itu?" soalnya.
Matthew Tony pula meninggalkan komen yang sinis.
"Kami mahu kerajaan baiki jalan yang sudah berpuluh tahun rosak, bukan ganti signboard ada amaran berbahaya," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram