[VIDEO] Tiada lagi kelibat Din Katak dengan jalur gemilangnya di Seremban, Jamaludin maut kemalangan


  • 112
  • Jumaat, 23 Feb 2024

Mangsa meninggal dunia selepas terlibat kemalangan bersama dua buah kereta ketika menunggang motosikalnya berhampiran Balai Polis Paroi, Jalan Seremban-Kuala Pilah, Negeri Sembilan sekitar pukul 3 petang. — Telegram

SEORANG lelaki yang pernah mencuri tumpuan penduduk di Seremban, Negeri Sembilan kerana semangat patriotiknya mengenakan baju jalur gemilangnya dan hiasan pada motosikalnya maut dalam satu kemalangan pada Khamis.

Jamaluddin Malek atau lebih dikenali sebagai Din Katak meninggal dunia selepas terlibat kemalangan bersama dua buah kereta ketika menunggang motosikalnya berhampiran Balai Polis Paroi, Jalan Seremban-Kuala Pilah, Negeri Sembilan sekitar pukul 3 petang.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Hatta Che Din berkata, mangsa, 72, parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Preve yang dipandu seorang lelaki berumur 32 tahun dari arah Seremban menuju ke Kuala Pilah yang berada di lorong kanan tiba-tiba menghimpit ke kiri.

"Kemudian Proton Preve itu melanggar bahagian pintu pemandu kereta jenis Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki berumur 33 tahun di lorong tengah," katanya dalam satu kenyataan.

BACA LAGI: [VIDEO] Lelaki diikat kena belasah sampai mati lepas langgar pagar rumah di Kajang, 5 suspek dicekup polis

BACA LAGI: [VIDEO] Penyamun Rohingya selamba pecah pintu depan, curi PS4 dan barang kemas di Gombak

Mohd Hatta berkata, impak perlanggaran yang berlaku menyebabkan Perodua Myvi terbabit dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke kiri sebelum melanggar motosikal Modenas Kriss yang ditunggang mangsa di lorong kiri.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian boleh berhubung dengan pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Fadzilah di talian 016-2895801 atau Ibu Pejabat Daerah (IPD) Seremban di talian 06-6033222 bagi membantu siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram