ORGAN dalaman seorang lelaki yang maut selepas diikat dan dipukul lima individu di Semenyih, Selangor pada Selasa dipercayai pecah akibat hentakan kuat.
Dalam kejadian, mangsa sebelum itu didakwa merempuh pagar sebuah kediaman di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang dan dipukul oleh sekumpulan lelaki.
Dalam perkembangan terbaharu yang dikongsikan saksi di media sosial, mangsa, Shahril Bin Samad, 42, difahamkan terlibat dalam satu kemalangan di Kajang sebelum dikejar orang awam hingga ke lokasi kejadian.
BACA LAGI: Lelaki diikat kena belasah sampai mati lepas langgar pagar rumah di Kajang, 5 suspek dicekup polis
Dakwaan yang dilakukan pengguna terbabit.
Menerusi hantaran dimuat naik di Facebook Abdullah Pak Lah MY, dia mendakwa kes tersebut kemalangan pertama yang berlaku berdekatan tempat kejadian.
"Ditarik keluar, diikat kaki dan tangan hingga tak mampu bergerak kemudian dipukul ramai-ramai sehingga meninggal dunia. Organ dalamannya dikatakan pecah akibat hentakan yang terlalu kuat.
"Muka Allahyarham penuh dengan kesan luka. Lehernya juga dicekik. Tak tergamak nak muat naik gambarnya diikat dan sedang nazak akibat ditendang dan dipijak di kepala dan ditumbuk berkali-kali di mukanya," dakwanya.
Pada masa sama, pengguna itu juga meluahkan rasa sedihnya terhadap keadaan mangsa kerana menganggap perbuatan itu terlalu kejam.
"Kenapa kamu semua tergamak buat berlaku kejam? Sama kejam dengan Zionis Israel. Tidak adakah lagi ihsan dan belas kasihan sesama manusia?," dakwanya.
Rata-rata warganet turut mempertikaikan perbuatan kesemua suspek yang bertindak sedemikian.
"Undang-undang rimba. Dah terlalu ganas. Makan daging hari-hari agaknya," komen Abd Raai Bin Osman.
"Malaysia dah jadi macam Zionis Israel," dakwa Nuriah Ibrahim.
Mangsa yang meninggal dunia dalam kejadian itu. — Facebook
BACA LAGI: [VIDEO] Isteri nafi suami tergamak belasah, lempar anak depan rumah di Kuli
Begitupun, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan ketika dihubungi Majoriti enggan mengulas lanjut.
Sebelum ini, Zaid dalam kenyataan pada Selasa berkata, pasukan forensik telah mengambil sampel calitan darah, kesan cap jari serta dua utas gumpalan tali berwarna hijau coklat bagi membantu siasatan.
Katanya, seramai lima individu telah ditahan di sekitar lokasi kejadian pada pagi Rabu dan direman selama lima hari sehingga Ahad.
Motif kejadian juga dilaporkan masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram