SEBUAH unit kereta peronda (MPV) polis terlibat kemalangan selepas hilang kawalan ketika mengejar sebuah kenderaan pacuan empat roda dalam kejadian di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah Utara berdekatan Taiping, Perak pada Isnin lalu.
Difahamkan, nahas sekitar pukul 7.09 petang itu terjadi selepas suspek yang memandu kenderaan jenis Toyota Hilux bertindak melemparkan objek besi ke arah kereta polis terbabit sehingga menyebabkannya terbabas dan melanggar penghadang jalan.
Rakaman video mengenai kejadian tersebut turut tular yang memaparkan sebuah kenderaan pacuan empat roda dipandu secara berbahaya di lebuh raya terbabit dan sedang dikejar oleh pihak polis.
Akibat daripada kemalangan tersebut, kenderaan MPV polis terlibat mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.
BACA LAGI: [VIDEO] Penyamun Rohingya selamba pecah pintu depan, curi PS4 dan barang kemas di Gombak
Sementara itu, foto tular turut memaparkan anggota polis menaiki kereta terbabit turut mengalami kecederaan ringan.
Dalam insiden tersebut, difahamkan polis mula mengejar kenderaan dinaiki suspek ketika berada di Plaza Tol Changkat Jering menghala arah Utara.
Sebelum kejadian, anggota polis difahamkan sudah memberi amaran sebanyak tiga kali kali menggunakan pembesar suara, namun ia tidak diendahkan suspek.
Status penahanan suspek dalam kejadian tersebut bagaimanapun tidak dapat dipastikan.
Setakat laporan ini ditulis, pihak polis masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram