[VIDEO] Seorang kanak-kanak maut, dimasukkan ke hospital akibat disedut pasir jerlus


  • Benua
  • Khamis, 22 Feb 2024

Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia, manakala seorang lagi budak lelaki dimasukkan ke hospital akibat kejadian pasir jerlus. — Agensi

SEORANG kanak-kanak perempuan meninggal dunia manakala seorang lagi budak lelaki dimasukkan ke hospital akibat kejadian pasir jerlus sedalam lima hingga enam kaki pada Selasa.

Kejadian tersebut berlaku di pantai Lauderdale-by-the-Sea di Fort Lauderdale, Florida, Amerika Syarikat (AS) kira-kira pukul 3 petang.

Insiden memilukan tersebut turut dirakam orang awam yang berada di lokasi sebelum dikongsikan di media sosial.

Difahamkan, budak perempuan yang berusia antara lima dan tujuh tahun itu ditemui dalam keadaan badan tenggelam sepenuhnya, manakala budak lelaki tersebut tertimbus hingga ke dada.

BACA LAGI: [VIDEO] Ngilu tengok kulit kepala tersiat, bouncer parah kena tetak ketika lerai 2 geng bergaduh tepi lorong gelap

BACA LAGI: Selain parkir bertingkat, KKM boleh buat 2 lagi cara atasi isu letak kenderaan terhad

Berdasarkan rakaman, orang ramai dilihat bertungkus lumus mengorek pasir untuk mengeluarkan dua kanak-kanak berkenaan.

Media antarabangsa melaporkan, anggota bomba menggunakan penyodok dan papan untuk mengorek pasir semasa operasi menyelamat.

“Ia adalah kemalangan yang tidak dijangka,” kata jurucakap Penyelamat Bomba Pantai Pompano, Sandra King.

Sandra berkata, kanak-kanak perempuan itu meninggal dunia sejurus selepas pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian.

Dalam masa sama, paramedik masih berusaha untuk menyelamatkannya dengan membawa dia dan budak lelaki berkenaan ke Pusat Perubatan Kesihatan Broward.

"Kami membuat teknik menyelamatkan nyawa untuk cuba mengembalikan nadinya, namun dia disahkan meninggal dunia di hospital," kata Sandra.

WhatsApp Image 2024-02-22 at 15.48.50

Anggota bomba menggunakan penyodok dan papan untuk mengorek pasir semasa operasi menyelamat. — Agensi

Sementara itu, budak lelaki berkenaan dikatakan berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, tidak jelas sama ada kanak-kanak tersebut adalah penduduk tempatan atau pelancong.

Identiti mangsa masih dirahsiakan disebabkan faktor usia mereka yang masih di bawah umur.

Tempoh masa mereka terperangkap di dalam pasir itu juga masih belum dapat dipastikan buat masa ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram