SEORANG wanita warganegara Singapura yang baru saja menyambut hari jadinya yang ke-33 dilaporkan meninggal dunia ketika bermain go-kart di Golden City Go Kart, Bengkong, Batam, Indonesia pada Rabu.
Pesuruhjaya Polis Daerah Kabid Humas Kepulauan Riau, Zahwani Pandra Arsyad berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 3.30 petang dan kes masih berada dalam siasatan pihak berkuasa.
Menurutnya, saksi mendakwa mangsa, Arini Mohamed Adinan, 33, bergerak pada kelajuan tinggi sebelum melanggar tayar yang digunakan sebagai penghadang laluan di litar berkenaan.
“Saksi melihat mangsa dalam go-kart bernombor 14 dan memandu dua pusingan mengelilingi trek,” katanya.
Difahamkan, saksi yang juga pekerja di litar itu bergegas mendekati dan membantu mangsa.
Zahwani menjelaskan, nahas itu menyaksikan topi keledar yang dipakai wanita terbabit tercabut sementara rambut panjangnya terlilit dan tersangkut pada kenderaan yang dipandu.
Ujarnya, mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Budi Kemuliaan Golden Prawn untuk menerima rawatan lanjut, namun malangnya dia disahkan sudah meninggal dunia.
"Mangsa disahkan meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Budi Kemuliaan," katanya lagi.
Arini yang bekerja dalam industri logistik difahamkan berada di Batam bersama rakan-rakannya bermula 20 hingga 22 Februari ini sempena satu percutian bagi menyambut hari ulang tahunnya yang ke-33 pada Rabu (21 Februari).
Mangsa juga merupakan anak kedua daripada tiga beradik dan kini menetap bersama ibu dan bapa tirinya di Chinatown. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram