Ahli Ekonomi Bank Dunia kata ada lagi 4 sebab ringgit menyusut lebih teruk berbanding mata wang negara Asia Tenggara lain


  • Bizz
  • Jumaat, 23 Feb 2024

BNM berpandangan paras semasa ringgit tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia menuju ke masa akan datang. — Gambar hiasan

PADA 20 Februari lalu, nilai ringgit terus mencatat penurunan ketara apabila mencecah paras 4.795 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS}.

Nilai tersebut merupakan paras terendah pernah direkodkan mata wang negara dalam tempoh 26 tahun, iaitu sejak Januari 1998 ketika kemuncak Krisis Kewangan Asia.

Situasi itu sememangnya menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia berhubung situasi ekonomi negara.

Ini kerana perkembangan terbabit dijangka menyebabkan kenaikan terhadap harga barangan import termasuk bahan makanan.

Sebagai negara dagang, kemerosotan ringgit dilihat secara langsung turut memberikan tekanan terhadap sektor import dan eksport negara.

Di samping itu, ia juga berisiko memberikan impak terhadap tahap keyakinan pelabur yang mempengaruhi aliran keluar masuk wang negara.

Mengulas mengenai perkara tersebut, Gabenor Bank Negara pada Selasa berkata, sama seperti mata wang serantau lain, prestasi ringgi dipengaruhi oleh beberapa faktor luaran.

Katanya, ia antara lain melibatkan pelarasan pasaran kepada perubahan jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan terhadap prospek ekonomi China.

Sehubungan itu, beliau berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) berpandangan paras semasa ringgit tidak mencerminkan prospek positif ekonomi Malaysia menuju ke masa akan datang.

Malah, beliau berkata, pertumbuhan pada 2024 akan dipacu oleh peningkatan dalam permintaan luar dan perbelanjaan domestik yang kukuh.

Hujah mengenai faktor luaran yang memberikan kesan terhadap nilai ringgit itu turut dipersetujui Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi.

BACA LAGI: Kejatuhan Ringgit, Malaysia perlukan Menteri Kewangan yang kompeten, bertugas sepenuh masa di MOF

1741812

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi.

Bagaimanapun, menerusi ciapan di laman X, beliau berkata, kedua-dua isu tersebut hanya sebahagian daripada punca yang penyumbang kepada kelemahan ringgit.

Kadar faedah dan eksport

Ini kerana menurutnya, perlu diakui bahawa terdapat negara lain di Asia Tenggara yang merekodkan tahap kemerosotan lebih rendah berbanding ringgit meskipun berdepan dua faktor luaran yang sama.

Ujarnya berbanding mata wang lain di negara Asia Tenggara, mata wang ringgit dilihat menunjukkan prestasi penurunan yang lebih tinggi.

Mengambil contoh isu peningkatan kadar faedah dibuat oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), Apurva berkata, tahap penyusutan mata wang lain negara lain seperti Filipina, Vietnam, Indonesia dan Thailand didapati merekodkan penyusutan lebih rendah berbanding ringgit Malaysia.

Katanya, trend tersebut dilihat konsisten sejak pertama kali kadar faedah di AS dinaikkan pada Mac 2022.

Menyentuh mengenai perkembangan perlahan ekonomi China, Apurva berkata, ia sememangnya memberikan kesan terhadap nilai ringgit dengan mengambil kira kebergantungan Malaysia terhadap perdagangan bersama republik tersebut.

"Tetapi Vietnam lebih bergantung kepada eksport kepada China berbanding Malaysia. Sebagai contoh, 16 peratus daripada keseluruhan eksport Vietnam adalah ke China.

"Peratusan eksport Malaysia ke China pula adalah lebih kurang iaitu hanya 13 peratus berbanding keseluruhan eksport negara.

"Namun, ringgit Malaysia menyusut lebih tinggi berbanding mata wang Vietnam," katanya.

Sehubungan itu, Apurva berkata, perlu diakui bahawa prestasi semasa direkodkan oleh ringgit itu turut dipengaruhi oleh keadaan domestik di dalam negara.

BACA LAGI : Nilai ringgit jatuh bawa kebaikan? Rakyat tak minat teori ekonomi Rafizi Ramli

2449119

Menurut Apurva, Malaysia masih gagal untuk memulihkan daya saing ekonominya selepas Krisis Kewangan Asia.

Daya saing dan defisit

Ini kerana jelasnya, pelemahan ringgit ketika ini merupakan sebahagian daripada simptom yang dihadapi Malaysia akibat kegagalannya untuk memastikan pemulihan daya saing ekonominya selepas Krisis Kewangan Asia.

Ujarnya, isu tersebut dapat dilihat menerusi penurunan antaranya dalam peratusan pelaburan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang merosot daripada 43 peratus pada 1997 kepada 19 peratus pada hari ini.

Apurva berkata, jumlah peratusan eksport berbanding KDNK juga semakin menguncup iaitu daripada 120 peratus pada 1999 kepada 68 peratus 2023.

Menurut beliau, Malaysia juga terus mencatatkan perbelanjaan defisit dalam belanjawan tahunannya dalam tempoh lebih dua dekad dengan kali terakhir negara merekodkan lebihan fiskal adalah pada 1996.

Pada masa sama, Apurva turut mengingatkan kes penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) melibatkan dana lebih RM2 bilion turut memberi kesan teruk yang menjejaskan nilai ringgit sehingga kini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram