Kejatuhan Ringgit, Malaysia perlukan Menteri Kewangan yang kompeten, bertugas sepenuh masa di MOF


  • Politik
  • Rabu, 31 Mei 2023

Mata wang Ringgit Malaysia dilaporkan semakin jatuh berbanding USD, Dolar Singapura, Baht Thailand dan Rupiah Indonesia. — Gambar hiasan

DALAM tempoh enam bulan ini, Ringgit Malaysia telah menyusut berbanding Dolar Amerika dan matawang lain sehingga mencecah paras RM4.60/USD dan dijangka boleh mencecah paras RM5.00/USD jika tidak dikawal.

Secara umumnya, penyusutan Ringgit kali ini disebabkan faktor ekonomi dan kemelut hutang di Amerika Syarikat, serta ketidaktentuan ekonomi global sehingga menjejaskan permintaan terhadap semua matawang, termasuklah Ringgit.

Perkara itu diluahkan oleh Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman menerusi laman Facebook peribadinya pada Rabu susulan kejatuhan wang Ringgit Malaysia berbanding negara lain kebelakangan ini.

"Cuma lemahnya Ringgit kali ini, bukan sekadar jatuh berbanding USD, tetapi juga lemah berbanding Dolar Singapura, Baht Thailand dan Rupiah Indonesia.

"Persoalannya, mungkin ada faktor dalaman yang menyebabkan Ringgit menjadi lemah berbanding matawang negara jiran.

"Pada masa sama, jualan bersih oleh pelabur asing di Bursa Malaysia telah memasuki minggu kelima berturut-turut dengan aliran keluar berjumlah RM58.7 juta minggu lalu," katanya.

Menurut Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF), pelabur asing telah menjadi penjual bersih selama 15 daripada 21 minggu pada tahun ini, dengan jumlah aliran keluar asing bersih sebanyak RM2.45 bilion.

Di pihak Bank Negara Malaysia (BNM), dasar monetari telah diambil bagi mengimbangi risiko dalaman dan luaran ini termasuklah menaikkan OPR baru-baru ini.

"Penjelasan awam perlu ditingkatkan, supaya rakyat faham situasi getir yang sedang kita berdepan. Ringgit jatuh, import mahal, kos bahan meningkat, harga barang juga meningkat.

"Di pihak kerajaan, kita masih menunggu formula dan strategi yang akan dikemukakan oleh Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Menteri Ekonomi. Setakat ini masih belum kelihatan strategi yang benar-benar ampuh untuk Malaysia bertahan," jelasnya.

Malah Perdana Menteri yang juga memegang jawatan Menteri Kewangan dilihat sukar memberikan fokus di MOF dengan bebanan tugas yang berat sebagai Perdana Menteri di luar," jelasnya.

Peranan dan penumpuan seorang Menteri Kewangan adalah amat penting dalam tempoh kritikal ini, khususnya bagi mengimbangi langkah yang diambil oleh Bank Negara yang mengawal dasar monetari.

Tambahnya, ini merupakan sebahagian daripada kegusaran dialami ketika pembentukan Kabinet, apabila Perdana Menteri memegang portfolio Menteri Kewangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram