MENTERI Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini menyifatkan penyusutan nilai ringgit yang direkodkan sejak dua minggu ini turut membawa kebaikan kepada negara.
Menurutnya, pendapatan negara terutama sektor minyak meningkat ekoran harganya diniagakan dalam nilai dolar Amerika.
Ujar beliau, meskipun nilai ringgit jatuh sejak kebelakangan ini, kerajaan belum bercadang untuk menyemak semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.
Rafizi Ramli mengulas tentang kejatuhan nilai ringgit.
Pandangan Ahli Parlimen Pandan itu mendapat reaksi pelbagai pihak, termasuk pemerhati politik dan isu-isu semasa, Azizi Safar yang kurang bersetuju dengan pandangan tersebut.
Dia turut mempersoalkan manfaat yang diperolehi oleh rakyat dan negara akibat kejatuhan nilai Ringgit ketika ini.
"Rafizi Ramli, Menteri Ekonomi kata kejatuhan nilai Ringgit Malaysia turut bawa kebaikan. Hangpa (kalian) setuju? Kebaikan apa?
"Nilai Ringgit Malaysia bukan hanya jatuh berbanding mata wang Dolar Amerika tetapi juga berbanding Dolar Singapura, Thai Baht dan Rupiah Indonesia.
"Jika betul kelemahan Ringgit Malaysia disebabkan faktor luaran, faktor kadar faedah di Amerika, kenapa nilai Rupiah Indonesia boleh naik mencanak dan Dolar Singapura terus mengatasi kita?" soalnya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Dalam pada itu, Azizi berkata, orang ramai lebih berminat untuk mengetahui kesan penyusutan nilai Ringgit terhadap kehidupan mereka, berbanding penjelasan teori ekonomi yang cuba disampaikan oleh menteri.
"Kenapa hanya Ringgit Malaysia saja terkesan? Orang ramai tidak berminat dengan teori-teori ekonomi. Mereka tidak minat, tahu tentang kelebihan dan kekurangan kejatuhan nilai mata wang.
"Mereka hanya fikirkan kesan negatif kejatuhan nilai mata wang ke atas kehidupan seharian mereka," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,