Kejatuhan ringgit: PM Anwar percaya tindakan naikkan OPR bukan penyelesaian


  • Primer
  • Rabu, 21 Feb 2024

Ringgit dijangka akan mengukuh berbanding dolar AS tahun ini apabila Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS memberi isyarat berakhirnya kenaikan kadar faedah di negara tersebut. — Gambar hiasan

DI sebalik terdapatnya desakan untuk meningkatkan kadar dasar semalaman (OPR) bagi memperkukuhkan nilai ringgit, Fahmi Fadzil berkata, Perdana Menteri masih berpandangan bahawa langkah itu tidak akan membantu dalam memastikan kebajikan rakyat.

Fahmi yang merupakan jurucakap kerajaan berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya tindakan tersebut hanya akan lebih menjejaskan rakyat Malaysia.

“Ada pihak yang mahu Bank Negara menaikkan OPR.

“Apa yang paling dibimbangkan oleh Perdana Menteri ialah bagaimana langkah ini akan memberi kesan kepada rakyat.

"Saya percaya ini mungkin bukan masa terbaik untuk berbuat demikian. Tetapi kami akan menyerahkan kepada Bank Negara untuk membuat keputusan," katanya pada sidang media di Putrajaya pada Rabu.

Menjawab persoalan mengenai kebimbangan kejatuhan nilai ringgit, Fahmi berkata, Kabinet tidak membincangkan mengenai perkara tersebut.

"Kami tidak membincangkan perkara ini pada mesyuarat hari ini (Rabu).

"Menteri Kewangan II dan Bank Negara telah pun menangani perkara itu. Penganalisis juga berkongsi pandangan dan unjuran mereka untuk ringgit," tambahnya.

BACA LAGI: [VIDEO] Isteri nafi suami tergamak belasah, lempar anak depan rumah di Kulim

Bank Negara building at Kuala Lumpur.

BNM mengekalkan kadar OPR 3 peratus sejak Mei tahun lepas.

BACA LAGI: [VIDEO] Penyamun Rohingya selamba pecah pintu depan, curi PS4 dan barang kemas di Gombak

Pada Selasa, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, beliau menjangkakan ringgit akan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) tahun ini apabila Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan AS memberi isyarat berakhirnya kenaikan kadar faedah selepas peningkatannya sebanyak 11 kali sejak Mac 2022 kepada kadar semasa iaitu 5.25 peratus hingga 5.50 peratus.

Ditanya sama ada terdapat keperluan untuk menambat ringgit kepada dolar AS, Amir Hamzah mengetepikan cadangan itu kerana beliau berkata, keadaan semasa berbeza daripada apa yang berlaku ketika Krisis Kewangan Asia 1998.

Mengulas mengenai keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengekalkan kadar OPR 3 peratus sejak Mei tahun lepas, Amir Hamzah berkata, ia berada pada tahap yang adil untuk memudahkan pertumbuhan ekonomi.

Data daripada Jabatan Perangkaan menunjukkan bahawa inflasi Malaysia, yang diukur oleh indeks harga pengguna (IHP), kekal pada 1.5 peratus pada Disember, menjadikan inflasi tahunan bagi tahun lepas kepada 2.5 peratus berbanding 3.3 peratus pada 2022.

Inflasi teras meningkat pada kadar lebih perlahan sebanyak 1.9 peratus pada Disember berbanding 2 peratus pada November, menjadikan kadar inflasi teras tahunan kepada 3 peratus. — The Star/MAZWIN NIK ANIS

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram