SEORANG lelaki warga Rohingya ditahan polis selepas didakwa melakukan gangguan seksual terhadap seorang pelajar perempuan dipercayai di sebuah pasar raya di Sungai Buloh, Selangor pada Jumaat.
Kejadian itu didedahkan menerusi rakaman kamera litar tertutup yang menunjukkan suspek pada awalnya dilihat mengekori mangsa yang sedang memilih barangan di sebuah rak makanan kedai berkenaan.
Kemudian suspek terus meluru dan meraba bahagian dada pelajar perempuan tersebut sebelum berpura-pura mengambil makanan di rak.
Pelajar terbabit yang terkejut dengan kelakuan suspek, terus berlari dan memanggil seorang wanita dipercayai ibunya.
Wanita berkenaan kemudiannya bersemuka dengan lelaki berkenaan sebelum seorang lagi pelanggan tampil untuk melihat kekecohan tersebut.
Dalam satu lagi video berasingan, memaparkan pendatang asing itu telah pun ditahan polis dengan beberapa lagi anggota turut berada di lokasi kejadian.
Cuba untuk menafikan perbuatannya, namun bukti rakaman kamera serta saksi di premis tersebut jelas membongkarkan kelakuan tidak bermoral lelaki berkenaan.
Hasil semakan polis mendapati, warga asing berusia 31 tahun itu telah didakwa di Mahkamah Klang, Selangor pada 27 September lalu kerana melakukan serangan seksual fizikal terhadap kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafaaton Abu Bakar berkata demikian susulan video kejadian yang kembali tular di laman media sejak Jumaat.
“Ya, kami sedia maklum berkenaan video kejadian yang tular di beberapa platform media sosial.
"Kejadian itu berlaku pada 18 September di sebuah kedai runcit di Sungai Buloh," katanya sambil menambah pihak polis menerima panggilan laporan daripada saudara mangsa.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak (AKSK) 2017," katanya.
Tambahnya, suspek berusia 31 tahun itu telah dituduh di mahkamah mengikut Seksyen 14(a) AKSK 2017. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram