Peniaga pasar malam Inanam dikesan guna pewarna merah, 'Ikan Uji Rashid' lebih cantik dan segar


  • Massa
  • Rabu, 21 Feb 2024

Tangkap layar seorang peniaga didakwa mencelup ikan dengan pewarna merah di Pasar Malam Inanam, Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin.

SEORANG peniaga ikan didakwa menggunakan bahan pewarna untuk 'mencantikkan' ikan yang dijualnya di Pasar Malam Inanam, Kota Kinabalu, Sabah pada Isnin.

Perbuatan itu dipercayai bertujuan bagi memperdaya orang ramai agar ikan yang dijual kelihatan sentiasa segar.

Kegiatan itu tertangkap susulan pemeriksaan dijalankan anggota Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu pada Selasa.

Ketua Pengarah DBKK, Junainah Abbie berkata, kesemua 20 lot gerai menjual ikan di pasar malam terbabit diperiksa sebelum peniaga yang disyaki menggunakan pewarna dikesan.

Beliau berkata, sampel ikan yang dijual kemudian diambil oleh anggota Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut Kementerian Kesihatan (KKM) sama ada pewarna terbabit berbahaya atau tidak.

"DBKK melakukan pemeriksaan di Pasar Malam Inanam susulan aduan pewarna yang digunakan pada ikan yang dijual dan kita dapat mengesan penjaja yang disyaki menggunakan pewarna untuk mewarnakan ikan.

"Sampel ikan dibawa ke makmal oleh pihak KKM untuk siasatan lanjut dan hasilnya nanti akan dimaklumkan kepada JKPB DBKK untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ini satu penganiayaan', peniaga dakwa kena halau tanpa sebab pihak IPT di Johor

msg-468649021-49545

Anggota JKPB bersama Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu menjalankan pemeriksaan terhadap peniaga ikan di Pasar Malam Inanam, Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa. — Facebook/DBKK

BACA LAGI: [VIDEO] Kad diskaun buat peniaga Menu Rahmah bermula Khamis

Beliau berkata, jika bahan pewarna yang digunakan mengandungi bahan berbahaya, tindakan sewajarnya akan diambil terhadap peniaga yang menggunakan bahan berkenaan.

Pemeriksaan di Pasar Malam Inanam itu dijalankan seramai enam anggota JKPB dan DBKK yang diketuai Pegawai Teknologi Makanan, Addrian Ijom bersama empat anggota Bahagian Penjaja Jabatan Pelesenan DBKK serta tujuh anggota Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu yang diketuai Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Rozita Ibrahim.

Junainah berkata, DBKK bersama KKM akan memperluaskan lagi operasi itu di semua lokasi menjual ikan di sekitar bandar raya ini bagi memastikan peniaga ikan tidak menggunakan bahan yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

Terdahulu, tular perbuatan seorang peniaga ikan di Pasar Malam Inanam didakwa menggunakan bahan pewarna merah untuk mencelup ikan yang berwarna merah, seperti ikan mata besar atau lebih dikenali sebagai ikan 'Uji Rashid'.

Kegiatan itu tular selepas perbuatan itu dirakamkan seorang saksi yang kemudiannya mendapat perkongsian ramai di laman media sejak Isnin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram