Belum terima laporan forensik, kes bunuh Bella ditetapkan 11 Mac depan


Rangka mayat Bella (gambar kecil) ditemukan sepasukan unit forensik polis Johor di kediaman lamanya yang berlokasi di Batu Pahat.

MAHKAMAH Majistret Batu Pahat, Johor pada Isnin menetapkan 11 Mac depan bagi sebutan semula kes teman lelaki Bella, Mohammad Haikal Mahfuz yang didakwa membunuh wanita itu, Disember lalu.

Majistret Suhaila Shafi'uddin menetapkan tarikh tersebut selepas pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Siti Khalijah Khalid memaklumkan pihaknya belum menerima laporan forensik.

Ketika prosiding itu, Siti Khalijah memaklumkan hanya laporan forensik belum diterima bagi membolehkan pihaknya membuat permohonan izin bagi memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Muar.

Peguam Mohammad Haikal, Syahril Anuar kemudiannya bangun dan mencadangkan tarikh berkenaan kepada mahkamah namun, tiada bantahan di pihak pendakwaan.

BACA LAGI: [VIDEO] Analisis DNA sepadan, polis sahkan rangka tak sempurna milik Bella

BACA LAGI: ‘Teman lelaki durjana’, bekas posmen angguk faham ketika didakwa bunuh Bella

Pada 24 Janurai lalu, Majoriti melaporkan tertuduh yang juga bekas posmen didakwa di Mahkamah Majistret Batu Pahat atas pertuduhan yang sama.

Tertuduh yang juga teman lelaki kepada Bella didakwa membunuh mangsa antara Jalan Kelapa Barli, Taman Soga sehingga Jalan Parit Besar, di Kampung Parit Besar dan sebuah rumah terbiar di Lorong Imam Jailani, Tongkang Pechah.

Jika sabit kesalahan, tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh boleh membawa hukuman mati atau penjara tidak lebih 40 tahun dan jika tidak dikenakan hukuman mati boleh dikenakan 12 sebatan.

Untuk rekod, kehilangan Bella pada malam 14 Disember lalu, terungkai apabila polis menemukan rangka kurang sempurna di dalam sebuah rumah sewa di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, di Batu Pahat, 19 Disember lalu.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram