[VIDEO] Penduduk Kg Jimpangah, Beaufort perjelas asal usul tanah dibeli warga Pakistan


  • Tular
  • Selasa, 20 Feb 2024

Tangkap layar kejadian memaparkan pertelingkahan antara seorang warga Pakistan dengan penduduk Kampung Jimpangah, Beaufort, Sabah baru-baru ini.

KALAU tidak timbul isu ini, sampai bila-bila kami ditindas.

Itu luahan rata-rata penduduk Kampung Jimpangah, Beaufort, Sabah susulan kekecohan yang dibuat oleh seorang lelaki warga Pakistan di perkampungan tersebut baru-baru ini.

Seperti yang dilaporkan Majoriti pada Isnin, tindakan warga asing itu yang didakwa cuba menghalau penduduk dengan alasan dia sudah pun membeli tanah di kampung berkenaan mencetuskan kemarahan mereka.

Bukan itu sahaja, menerusi satu video tular, dia didakwa bertindak kasar dengan hampir melanggar salah seorang penduduk di situ.

Ia dipercayai kerana terlalu berang dengan bantahan yang dibuat oleh orang kampung tersebut.

Malah apabila dihubungi, pihak berkuasa Beaufort tidak dapat memberi maklum balas dengan lebih lanjut berhubung kes itu, dengan alasan ia terlalu sensitif.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ini surat mahkamah', lelaki mirip warga Pakistan didakwa halau penduduk kampung lepas beli tanah di Beaufort

BACA LAGI: [VIDEO] Warga asing ada rekod jenayah ganggu wanita di Bukit Bintang kena pijak 'berjemaah'

Dalam pada itu, Facebook dengan nama akaun Kg Jimpangah memuat naik satu hantaran menjelaskan situasi sebenar tentang tanah di kampung itu.

Menurutnya, kawasan yang didiami mereka sekarang adalah tanah bekas rizab perumahan pekerja ladang sejak zaman pemerintahan British.

Sementara sebahagian tanah yang berdekatan rizab sungai memang diusahakan oleh masyarakat Kadazan Dusun Murut Rungus (KDMR) iaitu nenek moyang mereka mereka sendiri.

"Jadi selepas ladang tidak beroperasi, pihak British benarkan pekerja untuk memohon kawasan ini jadi perkampungan mereka. Lagipun mereka sudah lama tinggal di sini dan mereka juga yang usahakan tempat ini.

"Pada tahun 1991, otai-otai di kampung ini buat satu mesyuarat dan tubuhkan AJK (ahli jawatankuasa) permohonan kampung. (Mereka) tulis surat kepada pegawai daerah Beaufort.

"Surat pertama sudah dapat balasan yang mana pegawai daerah Beaufort menyokong usul orang kampung dan mohon PPHT (Pejabat Pemungut Hasil Tanah) Beaufort untuk memproses dan meluluskan permohonan kami," tulisnya.

Maklum pemilik Facebook itu lagi, sepanjang tempoh permohonan, tiada sebarang notis diterima sama ada daripada PPHT, Pejabat Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) atau pemilik terdahulu menyatakan bahawa mereka tidak dibenarkan tinggal di tanah berkenaan.

Ujarnya, sehingga tahun 2002, penduduk dimaklumkan permohonan telah pun dihantar ke JTU Kota Kinabalu untuk tujuan proses pewartaan.

"Kami sedia maklum proses di JTU memakan masa, maka sehingga 2005 kami masih buat rujukan tetapi tiada maklum balas.

"Sehinggalah tahun 2022 ada ura-ura cakap tanah mahu dibeli orang.

"Sepanjang permohonan, kami juga langsung tidak menerima surat pembatalan permohonan atau surat menceroboh tanah ini," jelasnya.

WhatsApp Image 2024-02-20 at 17.18.05

Penduduk kampung mendakwa permohonan mengenai pemilikan tanah tersebut tidak dilayan pihak berwajib. — Facebook

Dia turut memberitahu, pihaknya juga tidak dimaklumkan tentang pertukaran nombor geran sepanjang proses permohonan.

"Semasa permohonan dibuat, geran nombor masih L441. Bila bertukar ke CL175004412 pun tidak dimaklumkan.

"Kalau tidak tahu cerita dan fakta, jangan sembarangan sebar cerita tidak betul.

"Kami juga tidak bodoh untuk berumah di sini kalau bukan atas dasar permohonan yang sudah diluluskan dan dalam proses pewartaan.

"Ya, kami bersyukur isu ini terjadi, kalau tidak sampai bila-bila kami tidak tahu status permohonan tanah ini dan sampai bila-bila kami ditindas dengan (pihak) berduit," luahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram