
PENGALAMAN sebuah keluarga berkunjung ke pusat beli-belah di Setapak, Kuala Lumpur pada hujung minggu bertukar menjadi detik mencemaskan selepas kaki salah seorang daripadanya tersepit pada tangga eskalator di bangunan tersebut.
Video mengenai kejadian yang berlaku pada Ahad itu tular di media sosial sejak Isnin.
Berdasarkan klip tersebut, seorang wanita dilihat sedang duduk memeluk kanak-kanak perempuan dipercayai anaknya di bahagian hujung sebuah eskalator.
Difahamkan, kaki budak yang dilihat di dalam video tersebut sedang tersepit pada eskalator berkenaan.
BACA LAGI: Rasa 'sayang' boleh buat anda keracunan ubat
Pada masa sama, anggota bomba didapati sudah berada di lokasi bagi melakukan kerja menyelamat.
Berdasarkan info dikongsikan orang awam, kanak-kanak perempuan itu difahamkan berjaya diselamatkan bomba.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur mengesahkan mengenai kejadian tersebut.
Menurut Komander Operasi PBK II, Shamsul Bahri Hashim, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.56 petang Ahad.
"Setibanya di lokasi kejadian, didapati seorang kanak-kanak perempuan berumur 8 tahun telah tersangkut jari kaki pada eskalator di pusat beli-belah.
"Kerja-kerja mengeluarkan kaki mangsa dilakukan pasukan bomba dan pihak pengurusan bangunan. Mangsa didapati mengalami kecederaan bahagian kaki iaitu tiga jari kiri dengan salah satunya telah patah.
"Mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk diberikan rawatan serta tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram