ASPEK keselamatan ketika menggunakan eskalator bukanlah sesuatu yang boleh diambil ringan oleh mana-mana individu.
Ini kerana sebarang kecuaian atau kesilapan kecil ketika menggunakan kemudahan tersebut berpotensi mendedahkan pengguna kepada kemalangan termasuk yang boleh meragut nyawa.
Di sosial media, tular satu video memaparkan kejadian tragik melibatkan seorang kanak-kanak terjatuh apabila terlepas daripada dukungan ibunya yang ketika itu sedang menaiki eskalator.
Video berdurasi 27 saat itu tular selepas ia dimuat naik oleh satu akaun di laman X, INSAECLIPS26 pada Isnin.
Berdasarkan klip tersebut, budak kecil itu pada awalnya dilihat didukung oleh ibunya yang ketika itu baru sahaja menaiki sebuah eskalator bersama suaminya.
Bagaimanapun, wanita berkenaan kemudiannya didapati hilang keseimbangan sebaik berdiri di atas eskalator yang sedang bergerak menyebabkan anaknya terlepas daripada dukungan.
Akibat daripada itu, budak kecil tersebut dilihat terjatuh ke tingkat bawah melalui ruang celahan di tepi eskalator terbabit.
Kedua-dua pasangan tersebut kemudiannya didapati panik dan segera turun dari eskalator berkenaan untuk menyelamatkan anak mereka.
Menerusi carian di internet, insiden dalam video tersebut merupakan kejadian lama yang berlaku di sebuah pusat beli-belah dekat Ganganagar, Rajasthan, India pada 10 Mei 2018.
Dalam tragedi tersebut, bayi perempuan terbabit yang berusia 10 bulan maut di tempat kejadian akibat terjatuh dari ketinggian tiga tingkat.
Menerusi laporan media tempatan, ketika insiden, bapa kepada kanak-kanak malang terbabit difahamkan meminta isterinya untuk berswafoto ketika berada di eskalator.
Tindakan itu dipercayai menyebabkan wanita itu hilang keseimbangan sebelum terlepas anak yang sedang didukungnya.
Selepas siasatan dilakukan, polis mengklasifikasikan kejadian tersebut sebagai insiden kemalangan dan pihak keluarga mengambil keputusan untuk tidak memulakan sebarang tindakan perundangan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram