[VIDEO] Wanita hamil kena seret masuk kolam renang enggan dapatkan rawatan, tak mahu kekasih kena tindakan


  • 112
  • Ahad, 18 Feb 2024

Tangkap layar seorang lelaki didakwa cuba membunuh teman wanitanya dengan cuba melemaskan mangsa di dalam sebuah kolam renang baru-baru ini.

WANITA yang menjadi mangsa pukul kekasihnya melalui satu video tular pada Jumaat enggan mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap teman lelakinya.

Ketua Polis Daerah (KPD) Subang Jaya dalam satu kenyataan mengesahkan pihaknya telah menerima satu laporan polis yang dibuat oleh seorang wanita yang terbabit dalam video tular mengenai seorang lelaki bergaduh dengannya.

Mengikut kenyataan itu, siasatan polis mendapati kejadian berlaku Khamis lalu pada kira-kira pukul 3 petang di kolam renang Kondominium Dlatour, Jalan Taylor, Bandar Sunway, Selangor.

Siasatan turut mendapati bahawa wanita itu dan lelaki terbabit adalah pasangan kekasih dan bukan warganegara.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa wanita terbabit tidak mahu meneruskan kes serta tidak mahu sebarang tindakan diambil terhadap teman lelaki beliau.

Mengikut laporan itu lagi, mangsa juga mengaku tidak mengalami sebarang kecederaan dan tidak mahu mendapatkan rawatan.

BACA LAGI : [VIDEO] Seret campak masuk kolam renang, lelaki durjana dirakam cuba lemaskan kekasih hamil

BACA LAGI : [VIDEO] Lelaki maut di kerusi pemandu lepas berbalas tembakan dengan polis peronda

Berdasarkan video tular itu, lelaki terbabit dirakam telah mengheret dan cuba melemaskan wanita itu.

Kejadian dipercayai berlaku susulan pertengkaran di antara mereka selepas wanita itu memaklumkan kepada lelaki itu yang juga kekasihnya bahawa dia mengandung dan enggan menggugurkan kandungannya.

Insiden menyebabkan ramai nitezen yang menonton video itu berpendapat tindakan lelaki itu adalah satu bentuk serangan kejam terhadap pasangannya.

Malah mereka juga menggesa supaya laporan polis segera dilakukan dan keselamatan wanita itu dilindungi.

Sementara itu, KPD Subang Jaya dalam kenyataan yang sama berkata pihak polis memandang serius berkenaan kejadian jenayah yang berlaku dan menasihati orang ramai menyalurkan maklumat kejadian jenayah melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya) untuk tindakan lanjut.

Beliau juga berjanji bahawa segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan.

Terdahulu, Majoriti melaporkan seorang lelaki ipercayai melakukan percubaan membunuh teman wanitanya dengan cuba melemaskan mangsa di dalam sebuah kolam renang baru-baru ini.

Difahamkan kejadian itu berlaku di sebuah kondominium mewah di negara namun tidak dinyatakan lokasi sebenar.

Kejadian itu dirakam oleh salah seorang penduduk premis berkenaan dan video itu dimuat naik di laman media sosial X (Twitter), @adibhazlami pada Jumaat.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram