SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah kenderaan di Lebuhraya Plus arah Utara Kilometer 73.0 antara laluan Gurun ke Pendang, Kedah pada pagi Sabtu.
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, nahas tersebut berlaku kira-kira pukul 10.30 pagi.
Insiden tersebut turut dirakam pengguna jalan raya yang berada di lokasi kejadian sebelum dikongsikan di media sosial.
Klip video berkenaan memaparkan mangsa tidak bergerak dan terbaring dalam keadaan tersembam serta berlumuran darah, manakala serpihan motornya juga dilihat bertaburan di atas jalan raya.
Difahamkan, kemalangan selepas Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Gurun itu juga menyebabkan lorong kanan ditutup dan kesesakan berlaku di sepanjang 12 kilometer (km).
Tangkap layar memaparkan keadaan mangsa yang terbaring dalam keadaan tersembam serta berlumuran darah.
Bagaimanapun, status mangsa lain yang terlibat masih belum dapat dipastikan.
Setakat berita ini ditulis, masih belum ada sebarang kenyataan media yang dikeluarkan pihak berkuasa berhubung nahas tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram