DUA wanita maut manakala tiga lagi cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Jalan Sabah Forest Industries (SFI), Sipitang, Sabah pada petang Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Calvin Joe Jeafery berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 4.59 petang.
Menurutnya, seramai enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak sejauh lapan kilometer dari BBP Sipitang.
Kereta Proton Saga berwarna hijau milik mangsa yang terbabas melanggar pokok tumbang di bahu jalan.
"Kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Saga lama dipercayai hilang kawalan lalu terbabas di bahu jalan.
"Lima mangsa terlibat dalam nahas tersebut, dua mangsa dikeluarkan oleh orang awam dan dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans manakala tiga mangsa tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.
"Bagaimanapun dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
BACA LAGI: [VIDEO] Wanita keluar kerja awal pagi putus urat tangan dilibas pedang samurai
Calvin memaklumkan, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, seorang mangsa yang mengalami kecederaan turut dihantar ke hospital menaiki jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, difahamkan kenderaan terbabit dipercayai memecut laju sebaik menyedari kereta mereka diekori kenderaan Jalan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Terdapat sebuah kenderaan milik JPJ Sipitang yang sedang tugas rondaan mengekori kereta mereka dan memasang 'beacon light'.
"Apabila pemandu Proton Saga melihat kenderaan JPJ, dia terus memecut laju dan sebaik tiba di jalan selekoh menuruni bukit kereta itu hilang kawalan hingga menyebabkan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar pokok tumbang di bahu jalan," demikian menurut Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Mail Sundongi.
Mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu, Mohd Khairul Abdullah, 19 dan penumpang Norsiah @ Bibi Faizal, 14 manakala tiga lagi penumpang hadapan dan belakang masing-masing berusia lapan, 16 dan 17 tahun parah dan cedera ringan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram