KATEGORI tunggal bagi beras putih telah diperkenalkan bagi menggantikan kategori beras putih tempatan dan import di pasaran negara ini yang dinamakan sebagai Beras Putih Malaysia Madani.
Perkara itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Menangani Harga Makanan dan Kos Sara Hidup, Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal pada Rabu.
Susulan itu, kerajaan turut menetapkan harga siling bagi beras putih pada kadar RM30 bagi kampit 10 kilogram (kg) manakala RM15.50 (5kg) dan RM3.50 (1kg), berkuat kuasa Isnin depan.
Pengumuman itu nyata mendapat pelbagai respons dalam kalangan masyarakat, ada yang menyokong tidak kurang juga yang mempertikaikan keputusan berkenaan.
Pensyarah di Jabatan Sains Politik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr Marzuki Mohamad antara yang tampil mengutarakan pandangan beliau di media sosial.
Beliau berpandangan, tindakan menggantikan kategori beras putih tempatan itu tidak diperjelas dengan lebih teliti oleh pihak bertanggungjawab.
Sedangkan katanya, ia merupakan satu pengumuman dasar yang besar dan melibatkan banyak peringkat.
"Saya tak faham pengumuman yang dibuat oleh Ahli Parlimen Bukit Gantang (Syed Abu Hussin Hafiz) mengenai beras Madani.
"Penghapusan kategori beras import dan tempatan serta pengenalan beras Madani sebagai kategori tunggal.
"Penetapan kawalan harga baharu bagi beras, termasuk beras import yang kini dimasukkan dalam kategori tunggal beras Madani.
"Ini bermakna sekarang kerajaan kawal harga beras import. Sebelum ini hanya beras tempatan yang dikawal harganya," katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya pada Jumaat.
BACA LAGI: Kelantan keluarkan jenama beras sendiri 2024
Pelan Beras Putih Malaysia Madani masih memerlukan kelulusan daripada Kabinet sebelum mula dilancarkan. — The Star
BACA LAGI: Beras Putih Malaysia Madani masih perlukan kelulusan Kabinet
Marzuki yang juga bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan jumlah subsidi yang bakal disediakan oleh kerajaan bagi tujuan mengawal harga beras import.
Ini kerana ujar beliau, kebiasaannya apabila harga barang dikawal, kerajaan akan menyediakan subsidi.
"Kalau ada subsidi untuk beras import, ini pastinya melibatkan implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.
"Jika begitu, adakah perkara ini telah dibincang dan diputuskan oleh Kabinet?" soalnya.
Beliau menegaskan, sebarang perkara penting seharusnya melalui sesi perbincangan dalam Kabinet sebelum pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri atau menteri berkaitan.
Namun katanya, kenyataan yang dibuat Syed Abu Hussin Hafiz tidak menyebut bahawa ia adalah keputusan yang didasari oleh barisan Kabinet.
"Atau setidaknya (ia) dibincang di peringkat Naccol yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan kemudiannya diperakukan oleh Kabinet.
"Biasanya keputusan sebesar ini tak dibuat di peringkat jawatankuasa kecil Naccol yang dipengerusikan oleh seorang ahli Parlimen," katanya.
Marzuki Mohamad
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyuarakan keyakinan bahawa harga beras dapat dikurangkan selepas dibincangkan dalam mesyuarat Naccol pada minggu hadapan.
Jelas Anwar, mesyuarat yang sepatutnya bersidang lebih awal ditangguhkan ke minggu depan atas hal yang lebih mendesak seperti harga kawalan beras.
"Kita tangguh mesyuarat Naccol ke minggu depan, untuk putuskan secara muktamad tentang harga beras yang dikawal.
"Walaupun ia (harga) tidak boleh rendah sangat, namun saya yakin boleh dikurangkan jika kita lihat semula dan teliti bekalan dapat dari mana, siapa kontraktor dan berapa banyak keuntungan mereka,” katanya pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram