SEORANG calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar tayar sebuah treler di Kilometer 7, dekat simpang tiga Plaza Tol Pedas-Linggi, Rembau, Negeri Sembilan pada petang Khamis.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, kejadian pada pukul 1.03 tengah hari itu dipercayai berlaku ketika treler jenis Scania dari arah Plaza Tol Pedas Linggi dan berhenti di simpang tiga Jalan Pedas-Kundur-Linggi untuk menghala masuk ke arah sebelah kanan ke Kundur.
Menurutnya, ketika treler tersebut sedang keluar ke simpang, mangsa, Muhammad Adiff Haikal Mohd Mizam, 17, yang menunggang motosikal Yamaha LC135 datang dari arah Kundur menghala ke Pedas.
"Bagaimanapun dia tidak dapat mengelak sebelum terlanggar tayar bahagian tengah sebelah kanan treler," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mangsa tidak dapat mengelak sebelum terlanggar tayar bahagian tengah sebelah kanan treler. — Facebook/N9 Radar
BACA LAGI: Kerajaan harap India terus eksport beras putih ke Malaysia
Hazri memaklumkan, akibat nahas itu, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Undang Rembau berkenaan mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Rembau.
"Dia kemudiannya dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban, namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di zon merah kira-kira pukul 5.30 petang," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram