SEORANG bapa bersama bayinya berusia 11 bulan maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di Jalan Kuala Kangsar berhampiran Medan Klebang Restu, Ipoh, Perak pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.20 pagi itu, mangsa, Muhammad Fakhrul Najmi Roslan, 26, yang memandu kereta jenis Proton Saga dilaporkan maut di lokasi kejadian.
Sementara bayi perempuannya, Naura Adleena yang cedera parah disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Kemalangan tersebut turut membabitkan kereta jenis Mercedes-Benz dan Perodua Alza masing-masing dipandu lelaki berusia 36 dan 48 tahun.
BACA LAGI: [VIDEO] Penunggang big bike tersembam atas jalan, maut kemalangan di highway Plus Gurun-Pendang
Nahas itu berlaku setelah kereta dinaiki dua beranak itu keluar dari simpang dan melintas di hadapan Mercedes hingga menyebabkan kenderaan mewah tersebut tidak sempat menekan brek sebelum melanggar bahagian kiri kereta.
Mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga dilaporkan maut di tempat kejadian.
Akibat perlanggaran itu, kereta mangsa terbabas dan terseret hingga terkena kereta Perodua Alza yang berada di susur kiri jalan arah Klebang Restu.
Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik HRPB untuk dibedah siasat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram