SEORANG pengguna Facebook, Khaidir Ahmad baru-baru ini berkongsi mengenai kegiatan samseng yang didakwa meminta wang perlindungan bulanan daripadanya.
Ia gara-gara beliau menjalankan projek pertanian di kawasan yang didakwa 'milik' kumpulan tersebut.
Menurut Khaidir, kumpulan samseng itu meminta wang perlindungan sebanyak RM300 sebulan daripadanya.
Namun, dia enggan membayar wang yang diminta kerana berpegang pada prinsipnya untuk tidak melayan peras ugut terbabit.
"Kalau dilayan, bermakna kita menggalakkan lagi kegiatan jenayah berkembang dan berleluasa di Tanah Melayu ini," katanya dalam perkongsian berkenaan.
Tambah Khaidir, dia risau apabila ada maklumat mengatakan berlakunya kejadian excavator dibakar di kawasan tersebut apabila tuntutan wang perlindungan tidak dipenuhi.
"Saya berdoa agar ALLAH SWT melindungi harta benda dan pekerja saya daripada perbuatan khianat serta dipermudahkan urusan pelaksanaan projek Dusun Durian Moden (DDM) tanah halal milik dua warga emas Melayu di kawasan Rasa, mukim Batang Kali, Selangor," katanya.
Antara komen warganet dalam hantaran tersebut. — Facebook Khaidir Ahmad
Ujarnya lagi, dia turut menerima banyak reaksi dan maklumat negatif daripada pelbagai pihak tentang kegiatan peras ugut di Selangor khususnya di Batang Kali yang dikatakan sudah berleluasa sejak sekian lama.
Pada masa yang sama, Khaidir berkata, orang ramai turut memberikan nombor telefon anggota polis kepadanya dan menasihatkan supaya sentiasa bekerjasama dengan polis serta tidak melakukan sebarang tindakan secara bersendirian.
"Saya juga berharap pihak polis akan bertindak tegas dalam menghapuskan kegiatan jenayah peras ugut oleh samseng-samseng ini kerana ia bukan sahaja membahayakan keselamatan umum, malah boleh menjejaskan kegiatan ekonomi di sesuatu kawasan apabila rakyat dihantui ketakutan untuk keluar mencari rezeki," menurutnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram