SEORANG wanita putus urat tangan kiri akibat terkena libasan pedang samurai dalam kejadian cubaan samun di hadapan sebuah kedai dobi di Masjid Tanah, Melaka pada Isnin.
Ketua Polis Melaka, Zainol Samah berkata, insiden yang berlaku kira-kira pukul 6.30 pagi sewaktu wanita berusia 36 tahun itu memandu kereta ke tempat kerjanya.
Menurutnya, kereta mangsa telah disekat sebuah kenderaan sebelum dua lelaki bersenjatakan pedang samurai keluar daripada kereta itu dan menuju ke kereta mangsa.
"Suspek bertindak memecahkan cermin hadapan, tingkap kiri dan kanan kereta mangsa menggunakan pedang tersebut yang kemudian turut terkena tangan mangsa," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
BACA LAGI: [VIDEO] Dah macam main game, 3 maut kena tembak bertubi-tubi di laluan karpet merah
Ujar Zainol, mangsa mengundurkan keretanya dan terlanggar kereta di tepi jalan ketika dalam usaha melarikan diri ke Balai Polis Masjid Tanah.
Jelasnya, wanita berkenaan kemudian mendapat rawatan awal di Klinik Kesihatan Masjid Tanah sebelum dibawa ke Hospital Melaka.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa mengatakan dia tidak mengenali suspek dan tidak bergaduh dengan sesiapa kebelakangan ini.
Sebuah kereta jenis Proton Saga mengalami kerosakan teruk akibat insiden samun di Masjid Tanah pada Isnin. — Facebook
“Siasatan juga mendapati kereta milik mangsa mengalami kerosakan di cermin pintu hadapan kiri dan kanan serta cermin hadapan selain terdapat kesan langgar di bahagian belakang,” beritahunya.
Beliau turut memaklumkan, tiada barangan berharga milik mangsa yang hilang selepas kejadian tersebut.
"Kes disiasat bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cuba rompak dan Seksyen 427 kanun sama kerana khianat," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram