SEBUAH pesawat ringan dilaporkan terhempas di kebun kelapa sawit Kampung Tok Muda, Kapar, Klang, Selangor kira-kira pukul 1.10 petang Selasa.
Insiden tersebut berjaya dirakam orang awam yang berada di lokasi kejadian sebelum dikongsikan di media sosial.
Menerusi rakaman tersebut, jelas kelihatan serpihan-serpihan rangka pesawat yang terjatuh di kawasan kebun berkenaan.
Setakat pukul 3 petang, nasib mangsa terlibat termasuk juruterbang pesawat ringan terbabit belum diketahui.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kejadian dan kes sedang disiasat.
Pihaknya akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar memaklumkan, status terkini dan jumlah mangsa yang terlibat dalam nahas tersebut masih belum dapat dipastikan.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan itu pada 1.56 petang.
"Seramai empat anggota dan pegawai bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapar bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan.
Katanya lagi, jenis pesawat itu ialah Gabriel Aviation Safety Technology.
Bagaimanapun menurutnya, operasi pencarian mangsa sedang dijalankan ketika ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram