Polis kenal pasti suspek ugut bunuh Nik Elin


  • 112
  • Rabu, 14 Feb 2024

Nik Elin Zurina (kanan) membuat tiga laporan polis berhubung mesej berbaur ugutan bunuh yang diterimanya.

POLIS telah mengenal pasti pemilik tiga akaun media sosial yang disyaki terlibat dalam ugutan bunuh terhadap peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid susulan tindakannya mencabar peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019.

Rentetan itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, tiga kertas siasatan dibuka dengan satu daripadanya dilengkapkan dan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR).

"Pada tahun lalu, Nik Elin buat tiga laporan. Kita buka tiga kertas siasatan dengan satu daripadanya sudah selesai dan ada yang (dirujuk kepada) TPR beberapa minggu lalu.

BACA LAGI: Kes Nik Elin Zurina: Fahmi tegur Muhyiddin sebar berita palsu

"TPR telah memberi arahan tertentu (namun) belum ada pendakwaan dan sebarang tangkapan dilakukan setakat ini," katanya selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan Nik Elin Zurina membuat tiga laporan polis berhubung mesej berbaur ugutan bunuh yang diterimanya.

BACA LAGI: [Liwat, seks dengan mayat antara peruntukan Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan yang dicabar Nik Elin Zurina

Polis dalam pada itu turut mengesahkan telah menerima tiga laporan daripada peguam berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Polis juga memohon bantuan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang terlibat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram