SST 8 peratus belum cukup, cukai sektor kesihatan boleh dipertimbang isi kantung kerajaan


  • Massa
  • Rabu, 14 Feb 2024

Hospital khususnya swasta juga telah menaiktaraf kemudahan termasuk rawatan, ubat-ubatan, infrastruktur dan pelbagai lagi.

KERAJAAN disaran untuk mempertimbangkan cukai ke atas perkhidmatan kesihatan sebagai antara yang terawal boleh diperkenalkan untuk menjana pendapatan negara.

Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) Dr Mohd Faisol Ibrahim berkata, sekiranya cadangan itu dilaksanakan, sektor kesihatan dijangka memberi impak paling berkesan terhadap kutipan cukai negara.

Menurutnya, ini kerana perkhidmatan kesihatan merupakan sektor yang penting bagi sesebuah negara kerana ia mempunyai hubung kait dengan kesejahteraan hidup seseorang.

"Dengan kemasukan pelbagai teknologi perubatan, ubat-ubatan, bilangan doktor pakar dan kaedah rawatan serta pertumbuhan bilangan syarikat dan agensi dalam industri insuran serta takaful, orang ramai akan berpusu-pusu mendapatkan rawatan kesihatan terbaik.

"Hospital khususnya swasta juga telah menaiktaraf kemudahan termasuk rawatan, ubat-ubatan, infrastruktur dan pelbagai lagi.

"Jadi sektor kesihatan sekarang dilihat lebih baik dan maju berbanding sebelum ini walaupun kos rawatan meningkat naik sejajar dengan kemudahan yang ditawarkan pihak hospital," katanya kepada Majoriti.

Selain itu ujarnya, bilangan farmasi di pasaran juga semakin meningkat seiring kewujudan kepelbagaian jenama farmasi yang menawarkan pelbagai jenis ubat daripada harga murah sehingga yang mahal mencecah ribuan ringgit.

Beliau menjelaskan, ini menggambarkan bahawa sektor kesihatan sekarang telah jauh lebih maju berbanding sebelum ini.

"Jadi adalah wajar sektor sektor kesihatan juga dikenakan cukai tidak langsung," ulasnya lagi.

BACA LAGI: [VIDEO] Penduduk Kapar cemas, pesawat ringan terhempas di Kampung Tok Muda

A people passing by Al Ikhsan shop with 0 GST and SST sign at Petaling Jaya. NORAFIFI EHSAN/The Star.

Kerajaan memperkenalkan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus yang mampu melonjak hasil pendapatan kerajaan sebanyak RM3 bilion untuk tahun hadapan.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan microsleep, polis Hulu Selangor sahkan pasangan suami isteri maut sebab tak perasan Mitsubishi Triton rosak di lorong kecemasan PLUS

Sebelum ini, Malaysia dilaporkan antara pemungut hasil cukai terendah di Asia Tenggara dengan nisbah cukai kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berada pada 11.8 peratus.

Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, Malaysia di belakang Singapura dan Thailand, yang menggunakan sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) termasuk Nilai Tambah (VAT).

Sementara itu, Ketua Cukai Tidak Langsung PwC Malaysia, Raja Kumaran turut mencadangkan agar Malaysia mengenakan cukai ke atas perkhidmatan kesihatan, pendidikan swasta, penyewaan hartanah komersil dan infrastruktur bagi meluaskan skop cukai, sekali gus meningkatkan pendapatan negara.

Mengulas lanjut, Mohd Faisol berkata, kerajaan telah memperkenalkan kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus yang mampu melonjak hasil pendapatan kerajaan sebanyak RM3 bilion untuk tahun hadapan.

"Namun ini masih tidak mencukupi bagi sesebuah negara yang ingin memacu ke arah mencapai status negara maju dan berdaya saing.

"Ia juga penting agar agenda mensejahterakan sosioekonomi rakyat melalui perbelanjaan kerajaan yang tinggi hasil kutipan yang tinggi dapat diterjemahkan melalui aktiviti masyarakat yang positif.

"Justeru cadangan memperkenalkan cukai tidak langsung kepada sektor berkenaan amat wajar kerana ia sebenarnya mempunyai kitaran ekonomi yang sangat baik," jelasnya.

cukai

Malaysia dilaporkan antara pemungut hasil cukai terendah di Asia Tenggara dengan nisbah cukai kepada KDNK berada pada 11.8 peratus.

Beliau turut berpandangan, dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar dan andaian KDNK bagi tahun 2024 bertumbuh dengan kadar 4.5 peratus setahun, cadangan cukai tidak langsung ini masih dianggap baik dan sesuai bagi meningkatkan lagi hasil pendapatan kerajaan pada masa akan datang.

Jelasnya, ini kerana jika dilihat pada trend bajet kewangan negara yang dibentangkan, berlaku peningkatan pada setiap tahun dengan Bajet 2024 sahaja menunjukkan belanjawan tertinggi dalam sejarah Malaysia iaitu sebanyak RM393.8 bilion.

"Justeru bagi menampung kenaikan bajet setiap tahun, kerajaan perlu merangka dan mempelbagaikan cukai supaya kenaikan cukai ini akan mampu menyumbang kepada kenaikan hasil pendapatan kerajaan.

"Kesannya kerajaan mampu menggerakkan perbelanjaan pembangunan dan pengurusan yang lebih mampan serta mampu memberi impak positif kepada kenaikan pertumbuhan ekonomi negara khususnya dalam menjana agenda sosioekonomi serta pembangunan dan daya saing negara.

"Ini akan dapat dinikmati oleh rakyat secara keseluruhanya. Cadangan cukai tidak langsung ini juga dilihat sebagai suatu bentuk baharu ke arah cukai yang lebih adil dan saksama bagi semua sektor tanpa ada kelompongan dan keciciran," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram