[VIDEO] Petani buat keputusan sendiri tembak mati kartel dadah


  • Benua
  • Selasa, 30 Jan 2024

Pada Disember tahun lalu, penduduk di sebuah bandar Texcaltitlan membuat keputusan sendiri menyerang sekumpulan kartel dadah ekoran cukai pemerasan yang dikenakan terhadap petani dinaikkan. — Agensi

MEXICO sememangnya dikenali sebagai sebuah negara yang terkenal dengan keganasan yang melibatkan kartel dadah.

Malah, negara itu sering kali mencuri tumpuan berita mengenai kekejaman kumpulan tersebut.

Pada tahun lalu, penduduk di sebuah bandar Texcaltitlan membuat keputusan sendiri menyerang sekumpulan kartel dadah ekoran cukai pemerasan yang dikenakan terhadap petani dinaikkan.

Kejadian yang berlaku pada 12 Disember tahun lalu turut menggemparkan dunia kerana insiden itu turut dirakam oleh orang awam.

Memetik laporan media antarabangsa, Daily Star pertempuran antara orang awam dan salah satu kartel dadah kejam yang dikenali La Familia Michoacana meragut 14 nyawa termasuk 10 pembunuh upahan kumpulan.

Manakala empat yang lain cedera akibat terkena tembakan dan dua orang hilang dalam keganasan tersebut.

BACA LAGI: [VIDEO] Macam 'WWE', pencuri motosikal tergamam kena hempuk 'owner' di Sabah

BACA LAGI: [VIDEO] Budak perempuan lari tak cukup tanah 'diserang' anjing di Seberang Perai

Difahamkan, kartel dadah La Familia Michoacana pada ketika itu mengumumkan mereka menaikkan cukai pemerasan yang dikenakan terhadap petani di bandar Texcaltitlán.

Cukai tersebut adalah perkara biasa di seluruh Mexico, dengan pemilik-pemilik perniagaan membayar kartel dadah supaya mereka dapat beroperasi tanpa gangguan.

Kumpulan petani Texcaltitlan bertemu dengan anggota-anggota La Familia Michoacana di sebuah padang bola sepak untuk berunding.

Bagaimanapun, keganasan tercetus selepas kedua-dua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai jumlah cukai yang perlu dibayar.

Rakaman video dari padang bola sepak menunjukkan orang ramai berlari sambil bunyi tembakan kedengaran. Klip video itu turut memaparkan kenderaan terbakar dan mayat bergelimpangan di tempat kejadian.

Empat daripada mangsa yang maut ialah petani tempatan, dan 10 yang lain merupakan anggota kartel. Beberapa penjenayah juga telah ditetak dengan parang.

Ketua tempatan La Familia Michoacana, Rigoberto de la Sancha Santillan yang juga dikenali sebagai ‘El Payaso’ terbunuh dalam pertempuran itu.

Ketua Pejabat Peguam Negara Mexico, Jose Luis Cervantes Martinez berkata, El Payaso juga bertanggungjawab ke atas kematian 13 anggota pasukan keselamatan Mexico pada 2021.

Beliau juga mengesahkan bahawa El Payaso dibunuh oleh orang awam, selain dua pembunuh upahan kanan La Familia Michoacana.

Gabenor Negeri Mexico, Delfina Gomezpula mengutuk sekeras-kerasnya keganasan yang berlaku.

“Kejadian ini tidak melumpuhkan kami, sebaliknya, ia mengukuhkan keazaman kami untuk meningkatkan keadaan keselamatan di negeri tercinta kami. Yakinlah bahawa kami akan terus berusaha supaya kejadian seperti ini tidak berulang,” katanya. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram