BELUM reda isu dakwaan seorang pegawai polis trafik mengambil RM100 sebagai saman daripada pasangan pelancong warga asing, kini tular satu lagi video memaparkan insiden serupa dipercayai turut melibatkan anggota pasukan keselamatan yang sama.
Kali ini, insiden berkenaan difahamkan berlaku kira-kira dua bulan lalu yang juga membabitkan seorang pelancong asing.
Dalam kejadian tersebut, Luke Damant yang merupakan seorang pempengaruh sosial media daripada Australia itu dipercayai ditahan ketika menunggang motosikal di Langkawi, Kedah kerana tidak memakai topi keledar.
Bagaimanapun, sama seperti insiden sebelum ini yang membabitkan pasangan daripada United Kingdom (UK), Luke turut diberikan pilihan sama ada untuk membayar saman RM300 di balai atau melunaskannya di lokasinya ditahan pada kadar lebih rendah.
Rakaman mengenai kejadian tersebut dimuat naik di laman YouTube milik pempengaruh tersebut pada 10 November tahun lalu dan sudah mendapat lebih 56,000 tontonan.
Tangkap layar video memaparkan Luke ketika ditahan kerana kesalahan tidak memakai topi keledar.
BACA LAGI: [VIDEO] Diskaun saman RM100: Polis Perak kesan couple UK, kenal pasti identiti anggota trafik
Di dalam klip berdurasi satu jam empat minit itu, Luke berkata, dia akhirnya bersetuju untuk membayar sejumlah RM100 dan dibawa ke belakang sebuah lorong untuk tujuan 'pembayaran' tersebut.
Menurut pelancong terbabit, sekiranya mahu membuat bayaran di balai, dia perlu mengikut anggota polis trafik itu ke balai yang terletak 10 kilometer dari lokasinya ditahan.
Ekoran daripada itu, Luke memaklumkan dia kemudiannya pergi membeli topi keledar berharga RM50 bagi mengelak ditahan sekali lagi.
Menurutnya, pemakaian topi keledar ketika menunggang motosikal di Malaysia lebih tegas berbanding di Bali, Indonesia.
Luke merupakan pempengaruh yang berkongsikan kandungan pengalaman pengembaraannya di seluruh dunia menerusi platform YouTube.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari memaklumkan, pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam kes tular terbabit.
Ujarnya, polis ketika ini sedang mengumpul maklumat berkaitan kejadian itu untuk tindakan lanjut.
Beliau turut meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya tampil bagi membantu siasatan.
"Polis tidak akan melindungi mana-mana individu yang terlibat dan akan mengambil tindakan tegas ke atas mereka," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram