TINDAKAN seorang pempengaruh popular (influencer) dari Taiwan membuat siaran langsung langsung di Facebooknya dengan menyerbu masuk ke sebuah lokasi dipercayai pusat sindiket penipuan di Kemboja membawa padah selepas dia dikatakan ditangkap oleh ahli kumpulan berkenaan.
Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai 'Goodnight Chicken' itu dilaporkan pergi ke 'Taman Kaibo' di Sihanoukville, Kemboja, seorang diri pada petang Isnin.
Bagaimanapun, ketika membuat siaran langsung tersebut, dia disyaki telah ditangkap oleh individu dipercayai anggota kumpulan sindiket berkenaan.
Menerusi klip berdurasi lebih satu jam sembilan minit itu, lelaki berkenaan didengar sedang mengerang kesakitan dan dipukul sebelum terjatuh.
Di akhir video tersebut, seorang individu dipercayai askar dilihat mengambil kamera berkenaan dari atas tanah sebelum mematikan siaran langsung terbabit.
Setakat laporan ini ditulis, video berkenaan didapati masih boleh diakses di Facebooknya sementara status mengenai keadaannya masih tidak diketahui.
Menurut laporan media Taiwan, pempengaruh itu memasuki secara sembunyi ke 'Taman Kaibo', lokasi yang dikatakan sebuah sarang sindiket penipuan selepas mendapat laporan ramai individu ditipu untuk ke tempat tersebut.
Untuk menangani perkara tersebut, dia bertindak membuat siaran langsung berkenaan dengan video tersebut mendapat lebih 10,000 tontonan.
Berdasarkan rakaman berkenaan, dia dilihat menyelinap masuk ke dalam bangunan dengan suara yang sedikit gementar.
Semasa siaran langsung, dia bukan sahaja merakam bahagian dalam taman, tetapi insiden ketika dirinya dipukul oleh individu yang dilihat berada dalam pakaian seragam tentera.
Dia pada masa sama turut menegaskan bahawa rakaman yang dilakukan itu adalah asli dan benar-benar berlaku.
Difahamkan, dalam tempoh rakaman berkenaan, dia terpaksa bersembunyi selepas kehadirannya disedari akibat bunyi daripada tapak kakinya yang sedang berjalan.
"Saya cuma mahu mengambil gambar keadaan sebenar di sini untuk menunjukkan kepada anda. Saya tidak sangka ia akan menjadi seperti ini.
"Saya ada melihat senjata api? Saya perlu mengumpul keberanian untuk datang ke sini hari ini. Saya minta maaf kepada ibu mentua, ibu dan anda semua," katanya yang kedengaran berada dalam keadaan panik.
Tangkap layar video siarang langsung dibuat oleh Goodnight Chicken memaparkan lokasi dipercayai menjadi sindiket kegiatan penipuan.
Sebarang kaitan antara tentera terbabit dengan sindiket berkenaan juga dilaporkan masih belum didedahkan polis Kemboja.
Dalam pada itu, isteri 'Goodnight Chicken' turut membuat satu kenyataan di media sosial pada awal pagi Selasa dan memaklumkan suaminya masih tidak dapat dihubungi.
"Dia masih belum menghubungi saya. Saya telah meminta pemandunya untuk bertanya dan meminta polis tempatan yang berkaitan untuk memeriksa.
"Dia berada lebih 2,000 kilometer dari kami...Sekarang saya hanya boleh menunggu," ujar wanita tersebut.
'Goodnight Chicken' mula popular selepas dia membuat kandungan di tempat yang menyeramkan.
Pada 2020, dia melakukan pengembaraan ke hospital terbiar di Daerah Datong dan secara tidak sengaja menemui mayat yang tergantung, sekali gus mencetuskan sensasi di negaranya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram