Kes Nik Elin Zurina: Fahmi tegur Muhyiddin sebar berita palsu


  • Primer
  • Sabtu, 10 Feb 2024

Fahmi (kiri) menyifatkan bahawa pandangan yang kenyataan dikemukakan Muhyiddin mengenai isu pembatalan adalah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan adalah berita palsu.

MENTERI Komunikasi, Fahmi Fadzil tampil menegur bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin susulan kenyataan dikeluarkannya berhubung keputusan pembatalan beberapa peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan pada Jumaat.

Ia selepas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu mendakwa bahawa ketetapan Mahkamah Persekutuan itu bakal menyebabkan beberapa perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam tidak akan lagi menjadi satu kesalahan di negeri tersebut.

Menerusi satu ciapan ringkas di laman X, Fahmi menyifatkan bahawa kenyataan tersebut adalah berita palsu.

"Muhyiddin sebar fake news," tulisnya yang membuat ciapan semula pada Sabtu terhadap satu hantaran yang mengulas mengenai kenyataan dibuat Muhyiddin di Facebooknya.

Menerusi kenyataan tersebut, Muhyiddin berkata, beliau amat berdukacita dengan keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa 16 Seksyen terkandung dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan sebagai tidak sah.

Ujarnya, dengan keputusan itu, ia bakal menyebabkan perbuatan yang bertentangan dengan hukum Islam seperti menawarkan perkhidmatan maksiat, berkhalwat, sumbang mahram dan minum arak tidak lagi menjadi satu kesalahan bagi umat Islam di Kelantan.

Pandangan tersebut bagaimanapun menimlbulkan kritikan dalam kalangan warganet.

BACA LAGI: Mabuk, liwat dan bersetubuh dengan mayat antara 16 dari 18 peruntukan terbatal dalam Enakmen Syariah Kelantan

Screenshot 2024-02-10 132934

Tangkap layar ciapan oleh Fahmi mengenai kenyataan Muhyidddin.

BACA LAGI: 'Saya buat untuk semua', pakar perlembagaan anggap tindakan Nik Elin Zurina kukuhkan lagi perundangan Islam di Malaysia

Ini kerana beberapa kesalahan yang dimaksudkan Muhyiddin itu masih boleh didakwa di bawah Kanun Keseksaan.

Pada masa sama, terdapat juga kesalahan yang disentuh oleh Muhyiddin itu sebenarnya masih sah di bawah Enakmen Syariah Kelantan dan tidak dibatalkan.

"Ini kenyataan yang sangat dangkal dan palsu sekali. Tindakan bapa dan mak ayam masih lagi kesalahan bawah seksyen 372B Kanun Keseksaan dengan hukuman 20 tahun penjara.

"Kalau lakukan kesalahan, semua Muslim Kelantan boleh kena dakwa. Sama juga, sumbang mahram bawah 376A dengan hukuman yang sama bersama sebatan.

"Yang saya tak boleh brain, maklumat beliau beri mengenai Khalwat dan Minum Arak. Ia masih peruntukan sah dalam Enakmen Syariah Kelantan. Tidak langsung termasuk 16 Seksyen yang dibatalkan," tulis liyana_marzuki yang juga seorang bekas pengamal perundangan.

Setakat laporan ini ditulis, hantaran dibuat di Facebook Muhyiddin masih tidak diturunkan dengan ia sudah mendapat lebih 3,000 tanda suka dan 162 perkongsian.

Antara peruntukan Enakmen Syariah yang dibatalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Jumaat ialah Seksyen 11 mengenai pemusnahan dan mencemarkan tempat ibadat (Seksyen 11), Seksyen 14 (liwat), Seksyen 16 (persetubuhan dengan mayat), Seksyen 17 (persetubuhan dengan bukan manusia) dan gangguan seksual (Seksyen 31) .

Enakmen lain yang turut diisytihar tidak sah termasuk Seksyen 31 berkaitan memberi maklumat palsu, Seksyen 36 (mabuk), persediaan untuk melakukan maksiat (Seksyen 45) dan Seksyen 42 (penyalahgunaan label halal).

Keputusan itu dibuat ekoran daripada petisyen dikemukakan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang juga seorang peguam dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman yang memohon Mahkamah Persekutuan membatalkan 18 kesalahan syariah dalam enakmen Kelantan atas alasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melangkaui bidang kuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram