KEPUTUSAN Lembaga Pengampunan berhubung kes mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah lebih seminggu diumumkan, namun ia dilihat tetap menjadi bualan hangat warga maya sehingga hari ini.
Manakan tidak, laporan mengenai keputusan tersebut dikeluarkan secara tiba-tiba oleh sebuah media tempatan tanpa sumber yang sahih pada 30 Januari lalu, sebelum diikuti oleh media lain.
Bagaimanapun, laporan berita berkenaan ditarik semula pada hari yang sama, disusuli dengan permohonan maaf oleh media tersebut selepas menerbitkan artikel berhubung pengampunan bekas Pengerusi Umno itu.
Susulan daripada artikel tersebut juga timbul berita palsu lain melibatkan individu berpengaruh dalam kerajaan.
Terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menjadi mangsa fitnah penulis blog kontroversi, Raja Petra Kamarudin mendakwa Zaliha merupakan dalang utama yang menyekat pengampunan Najib.
"Confirmed! Menteri Wilayah yang sekat pengampunan Najib," ciapnya di laman X (Twitter) baru-baru ini.
Lebih memburukkan keadaan, terdapat individu yang menerima bulat-bulat dakwaan yang disiarkan.
Walaupun pihak Dr Zaliha sendiri kekal mendiamkan diri, namun itu bukan bermakna beliau terlibat seperti yang didakwa.
Terbukti, penyebaran berita-berita palsu sudah mula menjadi satu kebiasaan di media sosial mutakhir ini.
Melihat perkara itu, penyebaran berita palsu sama ada melibatkan kerajaan dan sebagainya perlu dibendung dan orang awam perlu dididik untuk memastikan kesahihan sesuatu berita terlebih dahulu.
Justeru, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerusi laman web rasmi menyatakan lima kaedah yang boleh digunakan untuk mengesan berita palsu:
BACA LAGI: Ibu bapa panik tertinggal anak dalam kereta tiba-tiba terkunci di Kampar
BACA LAGI: Video '7 Berita Baik Untuk Rakyat Malaysia' palsu — MOF
Siasat sumber atau bukti
Anda perlu memastikan bahawa artikel yang ditulis oleh sebuah sumber boleh dipercayai dan mempunyai reputasi dalam menyiarkan fakta yang tepat.
Kekurangan bukti dan kredibiliti (sebagai contoh, datang dari sumber atau organisasi yang kurang dikenali) atau pun daripada pakar yang tidak dinamakan berkemungkinan cenderung kepada berita palsu.
Baca melewati tajuk utama
Jika ada tajuk utama berbaur provokatif yang menarik perhatian anda, buat bacaan lanjut sebelum memutuskan untuk berkongsi maklumat berkenaan kepada orang lain.
Malah dalam artikel yang sah sekali pun, ada kalanya tajuk utama tidak menggambarkan keadaan sebenar secara keseluruhannya.
Pertimbangkan gambar atau video
Artikel-artikel berita palsu lazimnya mengandungi imej atau video yang telah dimanipulasi. Ada kalanya, gambar mungkin adalah tulen tetapi telah diambil di luar konteks.
Tangkap layar ciapan menyatakan Dr Zaliha terlibat dalam keputusan Lembaga Pengampunan berhubung kes Najib.
Periksa tarikh
Periksa tarikh! Artikel-artikel berita palsu berkemungkinan mengandungi garis masa yang tidak logik, ataupun tarikh acara yang telah diubah.
Lihat laporan-laporan lain
Jika tiada sumber berita lain yang melaporkan berita sama, ini berkemungkinan berita berkenaan adalah palsu.
Jika berita tersebut dilaporkan oleh pelbagai agensi media yang boleh dipercayai, berkemungkinan berita terbabit adalah benar.
Sekiranya anda masih ragu-ragu dengan berita yang dibaca, kerajaan telah menyediakan dua platform laman sesawang untuk menyemak berita palsu iaitu portal Sebenarnya.my dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram