PASANGAN suami isteri berdepan detik cemas apabila bayi perempuan mereka berusia tujuh bulan terperangkap di dalam kereta selepas kenderaan itu terkunci sendiri selama beberapa minit di kawasan berdekatan Pasar Awam Kampar, Perak pada pagi Khamis.
Pegawai Bomba Kanan 1, Balai Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Zahuri Zainal Abidin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 8.25 pagi.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian kanak-kanak itu didapati masih berada di dalam kereta dalam keadaan enjin dan penghawa dingin terbuka.
"Bayi yang diletakkan di tempat duduk belakang kereta tersebut didapati sedang tidur sewaktu kejadian.
"Difahamkan pasangan berusia sekitar 30-an tersebut berada dalam keadaan cemas kerana bimbang nyawa anak mereka dalam bahaya dan dikhuatiri lemas," katanya kepada Majoriti.
BACA LAGI: Sedih tengok Khyra lembik, ibu kongsi detik cemas tertinggal anak setengah jam di homestay
Seramai enam anggota dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan bayi berkenaan.
Zahuri berkata, seramai enam anggota dikerahkan ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan bayi yang terperangkap di dalam kenderaan jenis Hyundai Atos berwarna hitam tersebut.
Jelas beliau, operasi menyelamat mengambil masa dalam tempoh dua minit sahaja.
"Kami menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan budak tersebut.
"Alhamdulillah bayi berkenaan selamat dan tiada kejadian buruk menimpa mana-mana pihak," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram