[VIDEO] Peragut gagah pecah 9 rekod jenayah tiba-tiba lembik ketika dicekup di Kuching


  • 112
  • Jumaat, 09 Feb 2024

Tangkap layar video memaparkan sekumpulan orang awam berjaya menahan suspek yang meragut seorang mangsa berdekatan sebuah Public Bank di Kuching pada Khamis.

PERCUBAAN seorang lelaki melarikan diri selepas meragut mangsa di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Kuching, Sarawak pada Khamis gagal selepas dia ditahan orang awam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, lelaki berusia 30 tahun ditangkap pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak yang sedang bertugas.

"Pasukan JSJ IPK Sarawak yang sedang bertugas, telah berjaya menangkap suspek yang baru sahaja meragut barang mangsa dan terus melarikan diri.

"Polis turut merampas sebuah motosikal dan serangkai kunci motosikal serta barangan peribadi milik mangsa yang disamun.

"Suspek ketika kejadian di kawasan tempat letak kereta di hadapan Public Bank, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

BACA LAGI: Khairuddin Othman bakal dilantik KP J-KOM ganti Agus?

BACA LAGI: [VIDEO] Nahas lori kontena rempuh pembahagi jalan, pemandu maut tercampak bawah jejambat di SKVE

Jelas Ahsmon, hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau pelbagai kesalahan jenayah dan juga kesalahan penyalahgunaan dadah.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun dan bolehlah juga dikenakan denda.

"Suspek akan direman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah pada 9 Februari di Mahkamah Majistret Kuching," ujarnya.

Sebelum ini tular di media sosial memaparkan sekumpulan orang awam berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai meragut seorang mangsa berdekatan sebuah Public Bank di Kuching.

Menerusi video berkenaan, peragut tersebut dilihat berada dalam keadaan lemah longlai selepas dirinya dicekup. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram